Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
16.09.08

Selangor umum 16 pemain skuad 2009

Oleh: Wan Fakhrul (SELANGORFC.COM)

PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) mengumumkan senarai rasmi 16 pemain yang telah menandatangani kontrak bersama Selangor bagi musim baru 2009.

Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad berkata, mereka terdiri daripada 13 pemain musim lalu iaitu Safee Sali, R. Surendran, P. Gunalan, Amri Yahyah, D. Surendran, Razman Roslan.

Amirul Hadi Zainal, Nasriq Baharom, Asraruddin Putra Omar, Fazilidin Khalid, S. Sritharan, Zaiza Zainal dan Fadzirul Zakaria.

Manakala tiga pemain berusia 21 tahun dari skuad Piala Presiden musim lalu dinaikkan pangkat untuk menganggotai skuad Liga Super 2009 iaitu penjaga gol, Mohd Fairul Azwan Shahrullai, Mohd Fitri Shazwan Raduwan dan Mohd Fauzan Dzulkifli.

"Seramai enam pemain kita tak tawarkan untuk disambung kontrak iaitu Akmal Rizal Rakhli, Indra Putra Mahayuddin, Shukor Adan, Nuraizat Aziz, Wan Hoesne Wan Hussain dan Megat Amir Faisal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa Pengurusan FAS Bersama Media di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Namun, empat lagi pemain yang ditawar kontrak baru tetapi masih belum menandatanganinya adalah Safiq Rahim, Fadzli Shaari, Abdul Ghani Rahman dan Suffian Ab. Rahman.

Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya mendapat tahu keempat-empat pemain terbabit sudah menawarkan diri untuk beraksi dengan pasukan lain.

"Kita dah beri surat tawaran kontrak kepada mereka, tapi mereka tak hadir menandatangani. Jadi, kita akan ambil pemain baru menggantikan tempat mereka," jelas Hamidin.

Namun, teka-teki tentang siapa yang bakal dilantik sebagai ketua jurulatih Selangor yang baru masih belum terjawab apabila FAS memberitahu kerusi tersebut masih kosong selepas Dollah Salleh tidak disambung khidmatnya.

Menurut Mokhtar, nama ketua jurulatih baru hanya akan diumumkan apabila seseorang calon yang dipilih nanti sudah tiada sebarang ikatan kontrak dengan pasukan lama mereka.

"Tapi ia tak jadi masalah kerana kita telah ada penolong jurulatih baru iaitu P. Maniam yang dinaikkan pangkat dari jurulatih Piala Presiden musim lalu," ujar Mokhtar.

Seorang lagi penolong jurulatih, Mohd Rosedy Mohd Nadzir dikekalkan untuk musim depan.

Sementara itu, pengurus pasukan Selangor, Zakaria Ab. Rahim menyatakan bahawa FAS meletakkan sasaran untuk menjulang dua piala iaitu Liga Super dan Piala Malaysia bagi musim 2009.

"Tentang pemain baru luar Selangor yang akan diambil nanti, kita akan bincang juga dengan jurulatih baru. Tarikh tutup pendaftaran pemain seramai 25 orang maksimum adalah pada 31 Disember 2008.

"Dengan ketiadaan Shukor juga, kita akan mempunyai kapten baru. Buat masa ini belum ditentukan lagi tetapi pemain tersebut mestilah mempunyai ciri-ciri kepimpinan," tegas Zakaria.