Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
11.09.08

Siapa ganti tempat Dollah?

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

SKUAD Liga Super Selangor bakal mempunyai jurulatih baru musim depan bagi menggantikan Dollah Salleh (gambar) yang tidak disambung lagi khidmatnya oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Setiausaha FAS, Hamidin Amin ketika dihubungi Kosmo! semalam bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang berita khidmat Dollah tidak disambung itu.

"Saya tak mahu komen apa-apa. Tunggulah FAS akan buat sidang media pengumuman rasmi jurulatih baru pada minggu depan," katanya.

Semalam, sebuah akhbar berbahasa Inggeris telah memetik Dollah sebagai berkata bahawa dia sudah dimaklumkan tentang khidmatnya tidak disambung untuk musim depan dan dia menerima keputusan itu seadanya.

Sumber Kosmo! yang rapat dengan FAS semalam turut mengesahkan bahawa Dollah memang tidak lagi menjadi jurulatih Selangor bagi musim depan.

"Memang sah, Dollah tak disambung kontrak dan Selangor akan mempunyai seorang jurulatih baru yang akan diumumkan minggu depan," kata sumber terbabit.

Dollah, 45, sebelum ini telah menjadi jurulatih Selangor selama empat musim berturut-turut di mana musim sulungnya pada tahun 2005 begitu cemerlang apabila membawa tiga piala iaitu juara Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia.

Namun, kecemerlangan Dollah sekadar terhenti di situ saja kerana pada tiga musim berikutnya (2005/06, 2006/07 dan 2007/08), Selangor gagal menjulang sebarang piala atau kejuaraan.

Justeru, nafas baru daripada jurulatih baru bagi menghadapi musim 2009 ini dilihat mampu menarik kembali sokongan dan minat penyokong Selangor untuk membanjiri stadium.

Buktinya, perlawanan akhir Piala Malaysia pada bulan lalu sekadar menyaksikan hanya 15,000 penyokong Selangor turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil berbanding 40,000 penyokong Kedah.

Musim baru 2009 juga bakal menyaksikan keupayaan sebenar Zakaria Ab. Rahim sebagai pengurus Selangor pertama yang berkhidmat sepenuh masa selepas dia hanya mengambil alih pengurusan pasukan pada baki tiga bulan terakhir musim 2007/08 lalu.

Namun, siapakah pengganti Dollah kini menjadi tanda tanya dengan beberapa nama dikaitkan dengan jawatan jurulatih Selangor yang baru termasuklah jurulatih Kuala Muda Naza, K. Devan dan bekas pemain import Selangor, Mehmet Durakovic.

Devan ketika dihubungi semalam bagaimanapun belum bersedia untuk mengulas lanjut tentang khabar angin yang mengatakan dia bakal menjadi jurulatih Selangor yang baru.

"Saya tak mahu komen apa-apa lagi. Saya langsung tak tahu menahu tentang perkara ini. Buat masa ini, saya masih dengan Kuala Muda Naza," jelas Devan.

Bagaimanapun, segala persoalan bakal terungkai awal minggu depan apabila FAS dijangka akan membuat pengumuman rasmi mengenai barisan kejurulatihan yang baru di samping senarai pemain-pemain dikekalkan, digugurkan dan juga pemain-pemain baru dari pasukan lain.

Kosmo! juga difahamkan, proses perundingan tentang kontrak pemain kini sedang dijalankan pihak FAS tetapi pada masa yang sama beberapa pemain musim lalu sudah pun bersetuju untuk terus bersama Selangor musim depan.

Selain itu, tiga pemain berusia 21 tahun yang membantu Selangor muncul juara Piala Presiden musim lalu bakal dinaikkan pangkat untuk menganggotai skuad Liga Super Selangor musim depan.