Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
27.09.08

Terbaik Asia sasaran Selangor

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

SKUAD bola sepak Selangor meletakkan sasaran untuk muncul kelab terbaik di rantau Asia bagi tempoh lima tahun akan datang menerusi pelan terbarunya yang dinamakan Visi 2015.

Pengurus pasukan, Zakaria Ab. Rahim berkata, Visi 2015 yang diilhamkannya itu bakal dimulakan musim depan dengan matlamat muncul juara Liga Super dan Piala Malaysia 2009.

"Apabila menjuarai Liga Super 2009, Selangor akan layak secara automatik ke Piala AFC 2010.

"Dalam Piala AFC itu nanti, kita akan mantapkan lagi pasukan bagi memenuhi sasaran muncul juara dan layak secara wild card ke Liga Juara-Juara AFC 2011.

"Selepas itu, kita sasarkan pula untuk muncul juara Liga Juara-Juara AFC 2011 atau 2012 dan seterusnya pemain Selangor bakal menjadi rebutan kelab ternama Asia mahupun Eropah," katanya kepada Kosmo! semalam.

Jelas Zakaria, pelbagai strategi telah diatur ke arah mencapai Visi 2015 itu yang menjurus kepada empat teras utama iaitu sumber, latihan dan kejurulatihan, kemudahan dan nilai serta sokongan luaran.

"Empat teras ini akan disokong oleh tiga elemen berganda iaitu kekuatan kepimpinan, keupayaan dan prestasi yang tinggi dan juga kekuasaan dan bermotivasi dengan pemikiran yang telah diperbetulkan," katanya.

Tambahnya, pelan itu adalah berlandaskan kemajuan dan kejayaan untuk pasukan, pemain, penyokong dan penaja pasukan Selangor menjelang tahun 2015.

"Bunyinya mungkin seperti angan-angan Mat Jenin atau bercakap besar, tetapi jika diberikan peluang saya mahu semua itu akan tercapai," ujarnya.

Ditanya pula tentang persiapan Selangor menjelang sepak mula musim baru pada 3 Januari depan, Zakaria berkata, Selangor akan tetap berwajah baru meskipun mereka masih mengekalkan 16 daripada 26 orang pemain musim lalu.

"Kehadiran jurulatih baru serta beberapa pemain baru daripada pasukan Liga M yang lain nanti akan menjanjikan satu kelainan buat semua penyokong.

"Insya-Allah, saya berjanji untuk mempelbagaikan persembahan pasukan agar semua penyokong dan peminat bola sepak tanah air akan terhibur dengan persembahan pasukan Selangor musim depan," katanya.

Namun, tegas Zakaria kejayaan tersebut tidak akan mampu dicapai sekiranya hanya dia seorang diri yang menggalas tanggungjawab tersebut.

"Semua pihak yang terlibat secara langsung dalam pasukan perlu bersama-sama memikul dan laksanakan tugas masing-masing dan berusaha ke arah mencapai sasaran yang telah diletakkan itu," ujarnya.