15.09.08
Tonggak senior Selangor kesal
Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)
BELUM lagi saingan musim baru Liga-M 2009 bermula, beberapa tonggak senior Selangor yang dikekalkan sudah mula menyuarakan rasa terkilan dengan tindakan pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menggugurkan beberapa tonggak senior lain daripada skuad musim lalu.
Dua tonggak senior yang dikekalkan, penyerang kebangsaan - Safee Sali dan pemain tengah kebangsaan, Amirulhadi Zainal mengakui akan merasai ketiadaan kapten kebangsaan, Shukor Adan yang digugurkan untuk musim 2009.
Selain Shukor, tiga pemain senior Selangor lain yang turut digugurkan FAS ialah pemain tengah kebangsaan, Indra Putra Mahayudin, bekas penyerang utama kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan penjaga gol, Megat Amir Faisal.
"Memang ketiadaan Shukor mengetuai skuad Selangor pasti akan dirasai pemain, dia adalah seorang kapten yang sentiasa meningkatkan moral pemain-pemain lain di dalam dan luar padang.
"Selama dua musim bersama Selangor, saya akui seronok bermain dalam satu pasukan bersama Shukor dan ketiadaannya pada musim depan mungkin akan menghilangkan sedikit keseronokan itu.
"Namun, itu adalah keputusan pengurusan yang harus diterima semua pemain dan kami perlu meneruskan cabaran Selangor musim depan tanpa lagi kelibat Shukor memimpin pasukan," kata Safee yang berlepas ke Slovakia bersama Amirulhadi dan pemain skuad kebangsaan lain untuk siri perlawanan persahabatan Jumaat lalu.
Bagi Amirulhadi, sebagai pemain muda dalam skuad Merah Kuning, dia banyak menerima nasihat dan dorongan daripada Shukor untuk meningkatkan lagi permainannya.
"Dia adalah seorang rakan senior yang banyak membantu saya yang masih baru sebagai pemain profesional, dan sudah pasti seorang pemain muda seperti saya akan merasai ketiadaan Shukor.
"Apapun, saya akan tetap kekal bersama Selangor walaupun tanpa Shukor kerana masih banyak kejayaan yang mahu saya kecapi bersama Selangor dan saya berharap dapat mencapai sekurang-kurangnya satu kejuaraan musim depan, " kata Amirulhadi.
Pengguguran Shukor daripada skuad Selangor sedikit menimbulkan persoalan, kerana keputusan dibuat sebelum pengurusan menamakan jurulatih baru pasukan untuk menggantikan Dollah Salleh yang turut tidak dilanjutkan kontraknya.
Shukor turut beraksi hampir dalam semua perlawanan Selangor musim lalu dan sentiasa memberikan aksi terbaik, tetapi sesetengah pemain yang kurang beraksi tetap dikekalkan dan ia menimbulkan persoalan sama ada terdapat ‘faktor lain’ yang mempengaruhi keputusan menggugurkan kapten skuad kebangsaan itu.