Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
27.10.08

Devan belum tumpu aspek taktikal

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

KETUA jurulatih Selangor, K. Devan belum memberi tumpuan terhadap aspek taktikal.

Selepas dua minggu mengendalikan skuad Gergasi merah itu, Devan lebih memberi fokus terhadap tahap kecergasan pemainnya.

Menurut Devan, ia disebabkan skuad Selangor masih belum lengkap dan sebahagian daripada pemainnya sedang menggalas tugas dengan skuad negara.

"Kita masih belum dapat mengumpul tiga pemain kebangsaan (Safee Sali, Amirul Hadi Zainal, Asraruddin Putra Omar) serta tiga pemain dari Perak (Hamsani Ahmad, Nasril Nourdin, K. Nanthakumar).

"Selain itu, dua lagi pemain baru dijangka mula turun berlatih pada minggu pertama November," katanya ketika ditemui selepas aksi persahabatan menentang skuad Piala Emas Raja-Raja Selangor di Padang PKNS, Kelana Jaya kelmarin.

Pada perlawanan itu, Selangor mencatat kemenangan tipis 2-1 hasil jaringan penyerang baru, Rudie Ramli dan ketua pasukan, Amri Yahyah.

Bagaimanapun jelas Devan, perlawanan tersebut hanya dianggap sebagai sesi latihan memandangkan mereka sebenarnya masih belum bersedia sepenuhnya.

"Sepanjang dua minggu ini, kita masih belum memulakan latihan taktikal. Kita hanya tumpu kepada stamina serta persefahaman di kalangan pemain lama dan baru," ujarnya.

Pada aksi persahabatan itu, Selangor menurunkan Fairul Azwan Sahrullai, D. Surendran, Khairul Anuar Baharom, Fadzirul Zakaria, P. Gunalan, Fazli Baharudin, Amri Yahyah, Fazilidin Khalid, Sanjos Sundawat, Rudie Ramli dan R. Surendran.

Pada babak kedua, Fitri Shazwan Raduwan, Fauzan Dzulkifli dan Zaiza Zainal Abidin masing-masing masuk menggantikan Sanjos, Fazilidin dan Fadzirul.

Menurut Devan, skuad Selangor akan bercuti selama tiga hari sempena Hari Deepavali dan mereka akan kembali berlatih pada Rabu ini.