Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
07.10.08

Devan jurulatih baru Selangor

Oleh: Lokman Zainal Abidin (HARIAN METRO)

TEKA-TEKI mengenai jurulatih mana yang bakal diikat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), terjawab apabila sumber dalaman badan induk itu mengesahkan bahawa skuad Gergasi Merah itu bakal mendapat khidmat bekas jurulatih KM Naza, K Devan.

"Hanya tinggal sedikit lagi perkara berbangkit yang perlu diselesaikan dan kami percaya beliau (K Devan) akan mula melatih skuad Selangor mulai bulan ini," kata sumber terbabit.

Difahamkan, FAS turut mengintai untuk mendapatkan khidmat bekas pemain Selangor, Mehmed Durakovic yang kini melatih sebuah pasukan di Australia untuk membimbing Gergasi Merah musim depan tetapi ia tidak dapat disempurnakan.

"Memikirkan FAS mungkin perlu mengeluarkan belanja yang lebih untuk mendapatkan Durakovic, maka badan induk itu mengambil keputusan untuk mengikat jurulatih tempatan saja.

"Tambahan pula, kemampuan K Devan selaku jurulatih sudah terbukti kerana selepas Negeri Sembilan, beliau sudah menjulang nama KM Naza. FAS yakin dengan apa yang dimiliki oleh beliau," kata sumber itu lagi.

Nama K Devan memang disebut-sebut untuk membimbing skuad Selangor pada musim depan selepas FAS mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak Dollah Salleh.

Sepanjang dibawah kendalian Dollah sejak 2005, Selangor muncul juara Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia dan itu adalah gelaran terakhir yang dimiliki skuad berkenaan.

Selain Dollah, beberapa tonggak utama Selangor turut digugurkan termasuk kapten pasukan, Mohd Shukor Adan, penyerang, Indra Putra Mahayuddin, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, penjaga gol, Megat Amir Faisal Al-Khalidy Ibrahim serta dua pemain muda, Mohd Nuraizat Abd Aziz dan Wan Mohd Hoesne Wan Hussein.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Amin ketika ditemui enggan mengesahkan atau menafikan khabar mengenai kehadiran K Devan.

"Kami akan membuat pengumuman mengenainya dalam masa terdekat ini. Buat masa ini, saya tidak mahu komen apa-apa," katanya.