Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
16.10.08

Devan minta persefahaman

Oleh: Sayed Hesham Idris (UTUSAN MALAYSIA)

K. DEVAN mengharapkan Kuala Muda Naza (KM Naza) merestui tindakannya meninggalkan pasukan itu lebih awal untuk bersama Selangor dengan menyelesaikan isu kontrak yang masih berbaki sembilan bulan dengan bekas majikannya itu menerusi persefahaman.

Menurut Devan, dia tiada niat mahu melanggar kontrak dengan KM Naza apabila membuat keputusan menyertai Selangor, sebaliknya meninggalkan pasukan tersebut dengan cara yang mengikut peraturan.

Jelasnya, dia juga yakin bekas majikannya itu akan melepaskannya tanpa sebarang masalah yang boleh mengheret kepada kontroversi.

''Saya faham keadaan KM Naza masih memerlukan khidmat saya tetapi saya juga mempunyai keinginan sendiri apabila membuat keputusan menyertai Selangor.

''Saya berharap KM Naza memahami keadaan serta mengenang jasa saya yang berjaya membawa pasukan itu beraksi dalam Liga Super.

''Lagipun saya telah memaklumkan hasrat saya untuk meninggalkan KM Naza awal-awal lagi secara rasmi iaitu secara bertulis.

''Saya yakin masalah kontrak saya yang masih baki sembilan bulan bersama KM Naza akan diselesaikan dengan cara baik, iaitu menerusi persefahaman dan rundingan'' katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan Selangor di sini, semalam.

Keputusan Devan untuk bersama Selangor mencetuskan kontroversi kerana dia masih mempunyai baki kontrak sehingga Jun depan bersama KM Naza.

Tindakan jurulatih itu meninggalkan majikannya tatkala kontraknya masih berbaki sembilan bulan akan dirujuk kepada pihak tertinggi pengurusan KM Naza untuk tindakan lanjut.

Jurulatih itu memberikan alasan mahu berada dekat dengan keluarganya di Seremban apabila memilih Selangor sebagai pasukan barunya.

Sementara itu, Devan yang mengemudi KM Naza muncul juara Liga Perdana musim lalu menyasarkan sekurang-kurangnya menjulang satu piala musim depan kerana hanya kejayaan akan menobatkan Selangor selaku pasukan elit.

''Bagi saya apabila bersama Selangor, tidak lengkap jika tidak menjulang piala. Jika tiada piala maka bagi saya tiada pencapaian,'' katanya.

Tambahnya, bagi memperkuatkan lagi skuad bimbingannya, dia masih mencari beberapa pemain terutama di posisi tengah yang masih kosong.

''Saya telah mengenal pasti dua pemain untuk posisi tersebut dan sedang mengadakan rundingan, namun saya tidak boleh mendedahkan namanya buat masa ini.

''Menjelang awal bulan depan, saya berharap dapat melengkapkan senarai penuh pemain skuad Selangor untuk persediaan termasuk latihan di luar negara,'' katanya.