Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
09.10.08

FAS belum tetap destinasi

Oleh: Lokman Zainal Abidin (HARIAN METRO)

PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) masih belum menetapkan destinasi yang akan mereka jelajahi untuk mengadakan beberapa sesi perlawanan pemanas badan sebelum tirai Liga M musim 2009 disingkap awal tahun depan.

Tahun lalu, skuad Gergasi Merah itu menjelajah bumi Perth, Australia dan sudah menjadi tradisi untuk mengadakan perlawanan di luar negara setiap kali sebelum pentas bola sepak negara bermula.

Destinasi yang kerap di pilih FAS ialah Australia dan Indonesia tetapi untuk musim depan, hala tuju mereka masih belum ditetapkan oleh badan induk berkenaan.

"Kami baru selesai dengan urusan kontrak pemain dan tambahan pula kita baru saja menyambut Hari Raya Aidilfitri. Oleh itu, pengurusan FAS masih belum memutuskan sebarang destinasi yang akan kita tuju untuk perlawanan pramusim.

"Minggu depan, kami akan mengadakan mesyuarat. Banyak perkara yang akan dibangkitkan dan latihan pramusim akan turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan," kata Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Amin.

Hamidin berkata, Liga M musim 2009 masih jauh dan FAS tidak perlu tergesa-gesa untuk memikirkan soal perlawanan pemanas badan dan masih banyak lagi perkara lain yang perlu diatasi terlebih dulu.

Antaranya, soal ketua jurulatih skuad Gergasi Merah itu serta beberapa pemain lain yang mahu diikat bagi memenuhi kuota yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Tarikh akhir yang ditetapkan FAM untuk semua persatuan bola sepak (FA) negeri menghantar senarai pemain ialah sebelum hujung tahun ini dan kalau boleh kami mahu menyelesaikan semua urusan berkenaan terlebih dulu," katanya.

Tempat ketua jurulatih hampir pasti akan diisi K Devan dan mereka hanya perlu menyelesaikan beberapa perkara tertunggak sebelum bekas pengendali kelab Kuala Muda NAZA menabur bakti di Selangor.

FAS juga dalam proses mencari pemain baru bagi menggantikan tempat Mohd Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Megat Amir Faisal Al-Khalidy Ibrahim, Mohd Nuraizat Abd Aziz dan Wan Mohd Hoesne Wan Hussein.