Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
09.10.08

Fazilidin azam kuasai jentera tengah Selangor

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

BIARPUN ada pihak berpendapat pengguguran kapten skuad kebangsaan, Shukor Adan mengakibatkan jentera tengah Selangor bakal 'mati' musim depan, ia sebaliknya rahmat buat pemain muda Selangor, Mohd. Fazilidin Khalid.

Fazilidin, 23, yang telah mewakili Selangor sejak berusia 12 tahun sebenarnya sudah dua musim menganggotai skuad Liga Super Selangor sebagai pemain tengah.

Meskipun sering diturunkan bergandingan dengan Shukor sepanjang musim 2006/07, musim ini Fazilidin lebih banyak sekadar memanaskan bangku simpanan.

Ia disebabkan bekas jurulatih, Dollah Salleh lebih yakin dengan gandingan Shukor dan Indra Putra Mahayuddin selain saingan hebat daripada dua lagi pemain tengah, Fadzli Shaari dan Safiq Rahim.

Lantas menjelang musim baru, Fazilidin berkata, dia kini mempunyai keazaman tinggi untuk 'menguasai' jentera tengah Selangor selepas khidmat Shukor dan Indra tidak disambung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

"Pada mulanya, memang saya seakan berputus asa dan sudah pun ditawarkan untuk beraksi dengan PKNS musim depan.

"Tapi penolong jurulatih (Mohd. Rosedy Nadzir) nasihatkan saya supaya kekal dengan Selangor kerana katanya peluang beraksi lebih cerah selepas ketiadaan Shukor, Indra, Fadzli dan Safiq.

"Jadi, saya menyahut cabaran tersebut dan berharap tahun 2009 menjadi detik kebangkitan dalam karier bola sepak saya," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagaimanapun Fadzlidin memberitahu, dia masih tidak mengetahui siapa pemain tengah baru yang akan dibawa oleh FAS.

"Buat masa ini hanya saya dan Fauzan Dzulkifli di bahagian tengah.

"Mungkin dua pemain tengah baru akan masuk, tapi saya bertekad untuk mendapatkan aksi lebih kerap musim depan," ujarnya.