Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
16.10.08

Gandingan senior, baru mampu julang Selangor

Oleh: Lokman Zainal Abidin (HARIAN METRO)

PENGENDALI Selangor yang baru, K Devan berazam mahu kembali menjulang pasukan gergasi Lembah Klang itu dan dengan kehadiran ramai pemain muda, dia yakin usaha itu bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan.

"Saya yakin dapat membentuk satu pasukan yang mantap menerusi gandingan pemain senior dan baru. Apa yang dapat saya perhatikan ialah, pemain muda di dalam skuad ini mempunyai bakat yang cukup baik.

"Saya berani memberi jaminan bahawa masa depan pemain muda yang sebelum ini beraksi dalam saingan Piala Presiden Selangor ini memang cerah dan mereka berpeluang membarisi kesebelasan utama skuad senior asalkan menunjukkan kesungguhan ketika latihan, perlawanan persahabatan termasuk mempunyai disiplin tinggi," katanya.

Devan dilantik ketua jurulatih Selangor yang baru bagi menggantikan Dollah Salleh yang tidak menyambung kontraknya sejurus selepas tamat musim 2007/08.

"Saya baru mengharungi tiga sesi latihan bersama mereka dan apa yang saya nampak ialah pemain yang sedia ada ini mempunyai bakat serta kesungguhan. Itu adalah elemen yang cukup penting," katanya.

Ditanya mengenai formasi pilihannya, Devan berkata, dia tidak pernah menetapkan formasi permainan dan sering memilih strategi 4-4-2, 4-3-3 dan 4-2-3-1 bergantung kepada keadaan permainan serta kekuatan skuad bimbingannya.

"Saya kena melihat kepada kemampuan pemain. Saya perlu mengkaji terlebih dulu kekuatan serta kelemahan mereka dan daripada situlah baru saya akan menetapkan formasi yang akan kami gunakan," katanya.

Sebelum ini, ketika di bawah bimbingan Dollah, Selangor menampilkan kombinasi 4-4-2 yang juga formasi paling digemari bekas pemain kebangsaan itu.

Devan berkata, secara peribadi, dia mengimpikan untuk membawa pulang sebanyak mungkin gelaran musim depan tetapi terpaksa akur dengan hakikat bahawa semua impian itu bergantung kepada persembahan pemain.

"Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) meletakkan sasaran sekurang-kurangnya satu gelaran tetapi saya pula mahu cuba membawa balik tiga piala. Bagaimanapun, secara realitinya, saya perlu melihat kepada banyak aspek dan selepas itu barulah saya berani meletakkan sasaran sebenar," katanya.