Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
13.10.08

Gergasi Merah sudah lengkap

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

TATKALA pasukan lain masih sibuk mencari pemain baru dan mengadakan sesi pemilihan, skuad Liga Super Selangor pula sudah hampir melengkapkan senarai 25 pemain utama mereka.

Ia membuktikan kecekapan pihak pengurusan Selangor dalam mengendalikan pasukan selain menampakkan kesungguhan skuad Gergasi Merah itu untuk mengungguli saingan musim baru Januari depan.

Pengurus pasukan Selangor, Zakaria Ab. Rahim berkata, seramai 13 pemain yang dikekalkan bersama tiga pemain Piala Presiden yang dinaikkan pangkat serta beberapa muka baru akan turun menjalani sesi latihan pertama di padang Wisma FAS, Kelana Jaya hari ini.

"Selepas selesai sidang media mengumumkan ketua jurulatih baru dan senarai pemain baru (hari ini), pemain akan turun menjalani latihan sulung di bawah kendalian jurulatih baru.

"Sesi latihan akan terus diadakan di padang Wisma FAS setiap petang sehinggalah penghujung November depan.

"Bermula 1 Disember, kita akan kembali berlatih di padang SUK di Shah Alam," kata Zakaria ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Antara sembilan pemain baru Selangor ialah dua penjaga gol Perak, Hamsani Ahmad, 32, dan Nasril Nourdin, 22, dua pemain sayap PDRM, Sanjos Sundawat, 27, dan Fazli Baharuddin, 22, pertahanan Negeri Sembilan, Khairul Anuar Baharom, 34, dan penyerang Perlis, Rudie Ramli, 26.

Menurut Zakaria, beberapa lagi nama pemain baru Selangor bagaimanapun belum dapat diumumkan kerana mereka masih terikat dengan kontrak pasukan lama sehingga penghujung bulan ini.

"Memandangkan kita sudah ambil dua penjaga gol, dua pemain sayap, seorang pertahanan dan seorang penyerang, baki tiga pemain itu nanti merupakan pemain di posisi tengah," jelas Zakaria.

Sementara itu, nama ketua jurulatih Kuala Muda Naza musim ini, K. Devan hampir pasti bakal diumumkan secara rasmi sebagai ketua jurulatih baru Selangor pada sidang media petang ini.

Beberapa lagi pemain senior turut dikaitkan bakal menjadi pelengkap kepada senarai 25 pemain Selangor iaitu K. Nanthakumar (Perak), Hardi Jaafar (Perak) dan Rezal Zambery Yahyah (Negeri Sembilan).