Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
08.10.08

Rudie kembali sertai Selangor?

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

SELEPAS semusim berkelana di utara tanah air, bekas penyerang Selangor, Rudie Ramli dilapor bakal beraksi dengan sebuah pasukan Liga Super yang berpangkalan di Lembah Klang musim depan.

Rudie, 26, yang beraksi dengan Perlis musim ini sebelum dipinjamkan ke Kuala Muda Naza pada pertengahan musim berkata, buat masa ini, dia sedang menimbang tawaran daripada dua buah pasukan.

"Kuala Muda Naza ada tawarkan saya untuk terus bersama mereka musim depan dan dalam masa yang sama, saya juga menerima tawaran daripada sebuah pasukan Liga Super dari Lembah Klang," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Rudie yang pernah beraksi bersama kelab Jerman, SV Wehen pada tahun 2000 menyarung jersi pasukan Selangor sehingga musim 2004 sebelum dia menyertai PKNS Selangor (2005), Telekom Melaka (2006-2007) dan Perlis.

Namun, Rudie membayangkan kemungkinan dia akan memilih pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu kerana berasakan lebih selesa dekat dengan keluarga, apatah lagi isterinya bakal melahirkan cahaya matanya yang kedua Januari depan.

"Buat masa ini saya tak boleh beritahu pasukan mana yang akan saya pilih, mungkin minggu depan keputusan akan dibuat," jelasnya.

Daripada 14 pasukan yang akan beraksi dalam Liga Super musim depan, hanya Selangor, UPB-MyTeam, KL Plus dan PDRM yang berpengkalan di Lembah Klang.

Justeru, daripada empat pasukan tersebut, desas-desus kuat mengatakan bahawa Rudie bakal kembali bersama pasukan asalnya, Selangor setelah empat musim dia meninggalkan skuad Gergasi Merah itu.

Andai ia benar berlaku, Rudie bakal digandingkan dengan penyerang kebangsaan, Safee Sali serta beberapa pemain serangan lain seperti R. Surendran, Amri Yahyah, Amirul Hadi Zainal dan S. Sritharan untuk memantapkan jentera serangan Selangor musim depan.