Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
06.10.08

Selangor berwajah baru

Oleh: Lokman Zainal Abidin (HARIAN METRO)

WALAUPUN mengekalkan sebahagian besar pemain sama untuk memikul cabaran Selangor musim depan, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memberi jaminan bahawa skuad Gergasi Merah itu akan tampil dengan wajah serta aksi baru.

"Pasukan Selangor akan berwajah baru pada musim depan walaupun 16 daripada 26 orang pemain musim lalu dikekalkan. Kehadiran jurulatih serta beberapa pemain baru yang akan diikat tidak lama lagi bakal menjanjikan kelainan buat semua penyokong dan peminat bola sepak tanah air," kata pengurus pasukan Selangor, Zakaria Ab Rahim (gambar).

"Kami berjanji untuk mempelbagaikan persembahan pasukan di samping meningkatkan prestasi untuk menjadi bukan saja pasukan terkuat di Malaysia, malah juga di Asia dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Untuk mencapai hasrat itu, kami di FAS meletakkan sasaran (Visi 2015) untuk mencapai kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia untuk musim 2009 seterusnya melayakkan diri untuk kempen Piala AFC pada 2010.

"Dalam Piala AFC nanti, pasukan akan diperkuatkan lagi untuk memenuhi sasaran menjuarai saingan berkenaan dan terus melayakkan diri menerusi wild card selaku Juara Piala AFC bagi kejohanan Liga Juara-Juara AFC pada 2011 nanti."

Beliau berkata, terdapat empat teras yang dikenalpasti mampu untuk menyumbang kepada kejayaan visi berkenaan.

Empat teras yang dimaksudkan Zakaria ialah Sumber, Latihan dan Kejurulatihan, Kemudahan dan Nilai serta Sokongan Luaran. Semua teras itu perlu disokong tiga asas berganda iaitu Kekuatan Kepemimpinan, Keupayaan dan Prestasi Yang Tinggi dan Kekuasaan dan Bermotivasi dengan Pemikiran yang diperbetulkan.

"Mungkin ramai yang ketawa dengan apa yang saya katakan ini tetapi memang saya bercita-cita untuk membawa pasukan Selangor menjuarai Liga Juara-Juara AFC pada 2011/2012 nanti," kata Zakaria.

Beliau bagaimanapun sedar bahawa semua apa yang dihajatkan itu tidak akan mampu dicapai jika tiada sokongan semua pihak terutama pengurusan FAS dan pemain skuad Selangor.

Katanya, semua pihak yang terbabit secara langsung dalam pasukan perlu bersama-sama memikul dan melaksanakan tugas dan berusaha untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.