Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
11.10.08

Selangor bukan jodoh Suffian

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

JODOH bekas penjaga gol kebangsaan, Mohd. Suffian Ab. Rahman bersama Selangor nampaknya hanya semusim sahaja apabila dia tidak lagi menyarung jersi skuad Gergasi Merah musim depan.

Masalah komunikasi dikatakan menjadi penyebab kontrak baru Suffian, 30, gagal dicapai sekalipun namanya sebelum ini dikekalkan dalam skuad Selangor.

"Berlaku kesilapan komunikasi. Ketika saya menunggu panggilan daripada FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor) untuk kontrak baru, dalam masa sama FAS pula tunggu saya beri jawapan.

"Akhirnya semuanya sudah terlambat dan mereka (FAS) pun telah tandatangani dua orang penjaga gol baru," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Difahamkan, dua penjaga gol baru Selangor itu ialah Hamsani Ahmad dan Nasril Nourdin, kedua-duanya beraksi dengan Perak musim ini yang akan menggantikan tempat Suffian dan Megat Amir Faisal yang digugurkan.

Manakala penjaga gol Piala Presiden Selangor musim ini, Mohd. Fairul Azwan Shahrullai diletakkan sebagai penjaga gol ketiga bagi menggantikan Mohd. Nuraizat Aziz.

Ekoran itu, Suffian kini terpaksa mencari pasukan baru dan dia, mengakui sehingga kini masih belum menandatangani sebarang kontrak dengan mana-mana pasukan.

"Saya masih mencari (pasukan). Sekarang masih mood raya dan selepas ini saya akan mula mencari pasukan baru untuk diwakili musim depan.

"Terima kasih kepada penyokong Selangor yang selama ini memberi sokongan setiap kali saya turun beraksi," katanya yang beraksi pada perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia musim ini.

Pemain yang berasal dari Seremban itu merupakan penjaga gol kedua skuad kebangsaan pada Piala Asia 2007 dan pernah beraksi dengan Negeri Sembilan dan Telekom Melaka sebelum berhijrah ke Selangor.