Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
07.10.08

Selangor tambah sembilan pemain

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

SELANGOR akan membawa masuk sembilan pemain baru bagi memantapkan skuad Gergasi Merah itu menjelang saingan musim baru Liga Malaysia (Liga M) 2009.

Sembilan pemain baru itu akan menyertai 13 pemain lama serta tiga pemain Piala Presiden yang dinaikkan pangkat bagi melengkapkan senarai penuh 25 pemain Selangor musim depan.

Pengurus pasukan Selangor, Zakaria Rahim berkata, sebahagian daripada sembilan pemain baru itu sudah menandatangani kontrak.

"Sembilan pemain ini, kita ada ambil dari pasukan lain yang beraksi dalam Liga Super musim lalu.

"Mungkin juga ada beberapa pemain Piala Presiden akan diambil lagi untuk melengkapkan senarai 25 pemain," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada 16 September lalu, Selangor mengumumkan senarai 13 pemain musim lalu yang disambung kontrak mereka.

Mereka ialah Safee Sali, R. Surendran, P. Gunalan, Amri Yahyah, D. Surendran, Razman Roslan, Amirul Hadi Zainal, Nasriq Baharom, Asraruddin Putra Omar, Fazilidin Khalid, S. Sritharan, Zaiza Zainal dan Fadzirul Zakaria.

Turut disenaraikan, tiga pemain Piala Presiden Selangor musim lalu iaitu penjaga gol, Fairul Azwan Shahrullai, Fitri Shazwan Raduwan dan Fauzan Dzulkifli.

Ditanya siapakah daripada kalangan sembilan pemain baru yang bakal menyertai Selangor, Zakaria menjawab: "Pengumuman mengenainya akan dibuat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dalam masa terdekat.

"Begitu juga dengan jurulatih baru Selangor. Kita akan umumkan secara rasmi dalam satu sidang media, mungkin dalam minggu ini," jelasnya.

Ketika ini, nama jurulatih Kuala Muda Naza, K. Devan terus menjadi sebutan sebagai jurulatih baru Selangor bagi menggantikan Dollah Salleh yang tidak disambung kontraknya.

Zakaria menambah, sesi latihan pertama skuad Selangor Ahad ini berkemungkinan besar akan diketuai jurulatih baru tersebut dengan dibantu penolong jurulatih, P. Maniam dan Mohd. Rosedy Mohd. Nadzir.

Sebelum ini, FAS telah menggugurkan enam pemain lama iaitu ketua pasukan, Shukor Adan, Akmal Rizal Rakhli, Indra Putra Mahayuddin, Megat Amir Faisal, Nuraizat Aziz dan Wan Hoesne Wan Hussain.

Biarpun ditawarkan lanjutan kontrak oleh FAS, empat lagi pemain iaitu Suffian Ab. Rahman, Safiq Rahim, Fadzli Shaari dan Abdul Ghani Rahman telah memilih untuk beraksi dengan pasukan lain musim depan.

Beberapa pemain luar pula dikaitkan akan menyertai Selangor termasuk dua penjaga gol Perak, Hamsani Ahmad dan Nasril Nourdin, bekas penyerang Selangor, Rudie Ramli, pemain PDRM, Sanjos Sundawat serta pertahanan Negeri Sembilan, Khairul Anuar Baharom.