03.10.08
Selangor tetap bernafsu besar
Oleh: Lokman Zainal Abidin (HARIAN METRO)
MUSIM lalu, skuad Selangor gagal memenuhi sasaran membawa pulang sekurang-kurangnya satu gelaran, tetapi pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tetap 'berjiwa besar' apabila mensasarkan dua piala untuk musim depan.
Liga Super dan Piala Malaysia - itulah yang dijadikan sasaran FAS walaupun sedar skuad Gergasi Merah itu masih lagi terumbang-ambing akibat ketiadaan ketua jurulatih serta beberapa pemain tonggak.
Jurulatih musim lalu, Dollah Salleh tidak akan lagi merencana strategi kepada Selangor manakala khidmat beberapa pemain seperti Mohd Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli tidak disambung.
Pengurus, Zakaria Abd Rahim berkata, beliau bersedia untuk mempertaruhkan jawatannya dalam usaha memastikan sasaran yang ditetapkan badan induk itu akan dapat dicapai.
"Ramai yang mempersoalkan mengapa kami menggugurkan pemain senior seperti Shukor dan lain-lain tetapi bagi kami, mereka boleh dikatakan gagal membawa gelaran dan untuk musim depan, FAS mensasarkan dua piala iaitu Liga Super dan Piala Malaysia.
"Memang kami tidak mampu membawa pulang sebarang piala musim lalu dan saya bersedia untuk mempertaruhkan jawatan saya kali ini. Jika saya gagal membantu membawa pulang piala disasarkan, saya bersedia menerima apa saja keputusan FAS berhubung jawatan saya," kata Zakaria.
Zakaria berkata, FAS tidak terdesak untuk mencari pemain baru kerana tarikh tutup pendaftaran seperti ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ialah 31 Disember dan beliau menganggap mereka masih lagi mempunyai masa cukup untuk berbuat demikian.
"Masa masih lagi panjang dan kami tidak mahu tergesa-gesa untuk mencari pemain baru. Kalau boleh, kami mahu mendapatkan jurulatih baru sebelum membawa masuk pemain kerana mahu memberi peluang kepada jurulatih yang dilantik itu untuk sama-sama memainkan peranan dalam sesi pemilihan pemain.
"Kalau perlu, kami tidak menolak kemungkinan untuk membawa masuk pemain Piala Presiden kerana ia juga bagus untuk pendedahan kepada pemain muda ini," katanya.
Jurulatih Piala Presiden musim lalu, P Maniam kini sudah diberi tanggungjawab untuk menjadi penolong ketua jurulatih skuad senior dan beliau akan menjalankan segala urusan latihan sebelum kehadiran ketua jurulatih yang baru.