Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
07.10.08

Siapa jurulatih Selangor diketahui minggu ini

Oleh: Abdul Hafiz Ahmad (UTUSAN MALAYSIA)

TEKA-TEKI sama ada K. Devan dilantik sebagai ketua jurulatih Selangor bagi menghadapi saingan bola sepak Liga Malaysia musim baru mulai 3 Januari depan dijangka terjawab dalam tiga atau empat hari lagi.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad bagaimanapun masih enggan mengesahkan pelantikan itu kerana jurulatih berkenaan masih terikat kontrak dengan Kuala Muda Naza, juara Liga Perdana musim 2007-2008.

"Biarlah dia selesaikan soal kontraknya. Jika dia bebas, barulah kami boleh berunding tetapi dalam tiga empat hari lagi, kami akan buat keputusan muktamad," katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman Setiausaha Agung FAS, Hamidin Amin, semalam.

Namun, teka-teki itu seperti terjawab 90 peratus dengan kehadiran Devan pada majlis berkenaan selain bekas jurulatih Selangor, Dollah Salleh yang dikatakan bakal menerajui Shahzan Muda musim depan di samping bekas gandingan serangannya, Zainal Abidin Hassan selaku pengurus pasukan.

Devan pada akhir bulan lalu, mengakui telah menyerahkan notis peletakan jawatan sebulan (ketika kontraknya masih berbaki hingga Jun 2009) kepada pihak pengurusan Kuala Muda Naza yang dijangka membuat keputusan mengenainya dalam beberapa hari lagi.

Jurulatih yang menerajui kelab berpangkalan di Gurun, Kedah itu ke Liga Super musim depan ini, juga pernah membantu Negeri Sembilan memenangi persaingan utama Liga M itu pada 2006 dan menjuarai Piala FA 2003.

Jika sah menandatangani kontrak dengan FAS, dia bakal bergandingan bersama jurulatih skuad Bawah 21 Tahun Selangor yang menjulang Piala Presiden tahun ini, P. Maniam dengan sasarannya ialah Liga Super dan Piala Malaysia 2009 sekali gus kelayakan ke Piala AFC 2010.

Namun, Mokhtar menyatakan jawatan teraju Merah Kuning itu turut terbuka kepada calon jurulatih asing atas saranan segelintir pegawai FAS yang mengidamkan pembaharuan persembahan pasukan setelah khidmat pemain import tidak dibenarkan lagi.

"Halangannya cuma kosnya yang tinggi dan kami perlu meninjau kemampuan membayar gaji terlebih dulu tetapi memandangkan tiada lagi pemain import, pilihan menggunakan jurulatih asing masih terbuka," katanya.

Selain Devan, FAS sebelum ini dikatakan turut mencalonkan bekas pemain kebangsaan Australia, Mehmet Durakovic, 43, yang pernah membantu Selangor menjulang Piala Malaysia tiga kali berturut-turut pada 1995, 1996 dan 1997.

Omar Ruben Larossa, bekas pemain Piala Dunia Argentina merupakan jurulatih asing terakhir Selangor pada 2004 manakala Dollah membantu memenangi tiga gelaran 2005 tetapi Merah Kuning cuma mara ke perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia bagi musim 2007-2008.