SELANGORFC.COM

Tools
A+ R A- wide normal
Register Login
  • Skip to content
  • Utama
  • Berita
    • 2010
    • 2011
    • 2012
  • Perlawanan
  • Pemain
    • Senior 2012
    • Kebangsaan
    • Import
  • Statistik
    • Kedudukan 2012
    • Prestasi 2012
    • Statistik 2012
  • Sejarah
    • Liga
    • Piala Malaysia
  • Stadium
  • Rencana
    • Editorial
    • Temubual
  • Forum
  • Shop
  • ENGLISH
    • News Archive 2011
    • On Target Mokhtar

Negeri Sembilan 1 Selangor 2

Ahad, 10 Januari 2010 08:49 SELANGORFC.COM

Pengalaman dan pilihan pemain jelas memberi kelebihan kepada Selangor untuk bangkit menumpaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu mendahului menerusi Idris Karim pada minit ke-26 sebelum Selangor menjaringkan dua gol di lewat babak permainan menerusi Mohd Safee Sali (m-76) dan R Surendren (m-82) untuk memastikan Piala Sultan Ahmad Shah ini kekal di Selangor.

Perlawanan turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Tunku Besar Tampin Syed Razman Syed Idrus Al Qadri, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Selangor yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Jurulatih Selangor, K. Devan menurunkan tiga pemain yang baru dibeli, Farderin Kadir, Liew Kit Kong dan Safiq Rahim ke dalam kesebelasan utamanya namun nampak terlebih dahulu menyesuaikan diri dengan perlawanan dengan memaksa dua sepakan sudut dalam 5 minit pertama perlawanan tatkala Farderin terutamanya banyak membuka ruang di bahagian sayap Negeri Sembilan.

Namun percubaan berbahaya pertama perlawanan dimiliki si Rusa pada minit ke-7 yang memperolehi sepakan percuma di hadapan pintu gol Selangor setelah Khairul Anuar Baharom mengasari pemain lawan. Sepakan percuma yang diambil oleh Aidil Zafuan bagaimanapun terkena benteng sebelum sepakan susulannya terkena palang meskipun Hamsani Ahmad sudahpun tertewas.

Tersentak dengan percubaan itu, Selangor menggandakan asakan menerusi larian Safee Sali yang memaksa Ching Hong Aik menjatuhkan beliau dari belakang sekaligus menerima kad kuning pertama perlawanan dari pengadil perlawanan Subkhiddin Haji Salleh serta dua percubaan jarak jauh menerusi Safiq dan Farderin masing-masing pada minit ke-13 dan 19 yang diselamatkan penjaga gol Negeri, Farizal Harun.

Ternyata amaran bahaya set-piece pasukan lawan sebelum ini tidak begitu diambil perhatian oleh pertahanan Selangor menyebabkan mereka terpaksa membayar harga yang mahal apabila Negeri Sembilan memperolehi satu lagi sepakan percuma pada minit ke-26. Sepakan kali ini diambil Rezal Zambery Yahya dari sebelah kanan mencari Idris yang berlari di antara Razman Roslan dan Kit Kong lalu menanduk melepasi jangkauan Hamsani sekaligus menggembirakan penyokong tuan rumah.

Selangor cuba membalas namun dua sepakan percuma di kawasan berbahaya yang diperolehi selepas itu disia-siakan masing-masing menerusi sepakan leret Farderin yang ditepis keluar Farizal pada minit ke-31 dan sepakan Safiq yang meliar. Rezal menerima kad kuning hasil asakannya kepada Kit Kong manakala Safiq kemudiannya turut menyusul hasil hadangannya terhadap rakan sepasukannya dalam skuad bawah-23 negara, S Kunanlan.

Selepas aksi babak kedua bersambung, seperti juga sebelumnya Selangor terlebih dahulu mengatur gerak mencari gol namun hantaran cantik Safee Sali menemui ketua pasukan Amri Yahyah namun tandukannya terkena tiang walaupun berjaya mengelirukan Farizal.

Kunanlan kemudian memperolehi peluang terbaik untuk menambah jaringan tuan rumah namun sepakan kencangnya berjaya ditolak keluar oleh Hamsani untuk sepakan sudut.

Gandingan kemas barisan tengah dan pertahanan Negeri Sembilan jelas memaksa Selangor membuat percubaan dari jarak jauh di samping beberapa kali mengancam Selangor menerusi serangan balas pantas yang bagaimanapun gagal disempurnakan dengan baik.

Menyedari perlunya perubahan taktikal bagi mencairkan kekentalan kubu lawan, Devan membuat pertukaran pada minit ke-70 dengan memasukkan R Surendren dan Amirulhadi Zainal seminit kemudiannya bagi menggantikan Hardi Jaafar dan Farderin. Surendren mengambil tempat bergandingan dengan Safee manakala Amri turun beraksi di bahagian tengah.

Dalam tempoh genting 15 minit terakhir kelebihan Selangor mula tampak jelas tatkala mereka mampu memasukkan pemain-pemain berpengalaman dalam usaha mengubah perlawanan, Negeri Sembilan pula terpaksa bergantung kepada pemain-pemain kurang berpengalaman Asyraf Al-Japri dan K. Thanaraj sebagai gantian.

Pada minit ke-75 larian solo Surendren hampir membuahkan hasil namun dipatahkan lawan apabila beliau memilih untuk melakukan sepakan tatkala terdapat rakan sepasukan di posisi yang lebih baik. Namun kesilapan Alif Samsudin di posisi bek kanan si Rusa membolehkan Surendren mengambil kesempatan berlari berhampiran garisan gol sebelum melorongkan kepada Safee yang mudah menolak masuk gol penyamaan pada minit ke-76.

Gol tersebut menggembirakan kira-kira 5,000 penyokong Merah Kuning yang membuat perjalanan singkat merentasi sempadan negeri bagi menyaksikan perlawanan ini.

Selangor tidak menunggu lama untuk menjaringkan satu lagi gol, kali ini menerusi gerakan satu dua Surendren dan Safee yang disudahkan dengan baik oleh Surendren pada minit ke-82. Negeri Sembilan cuba mencari gol penyamaan namun kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan lantas memastikan skuad Red Giants menjulang Piala Sultan Ahmad Shah buat kali kelapan.

Jurulatih Negeri Sembilan Wan Jamak Hassan mengakui kekurangan pengalaman pemainnya untuk mengambil kesempatan semasa serangan balas tatkala Selangor sibuk menyerang menjadi punca pasukannya gagal memenangi perlawanan ini sambil memfokuskan kesalahan gol pertama kepada kesilapan Alif.

"Apa yang saya nampak apabila permainan berterusan, kami mempunyai (situasi di mana) peluang 4 (pemain Negeri Sembilan) lawan 2 (pemain Selangor) dan 3 lawan 2, pemain-pemain saya tidak pandai mencari ruang atau melorongkan bola kepada pemain yang mempunyai ruang untuk menjaringkan gol. Saya berpuas hati dengan kemampuan pemain-pemain saya namun kita kalah malam ini akibat kelekaan, kesalahan kecil dan kesilapan pemain pertahanan kanan saya."

K Devan pula memuji aksi anak-anak buahnya di separuh masa kedua sambil menyatakan perubahan pemain yang dilakukannya di lewat perlawanan membolehkan Selangor menguasai permainan seterusnya mencipta kemenangan.

"Saya kena akui pasukan Selangor tidak beraksi begitu baik di separuh masa pertama dan terdapat peningkatan hanya di separuh masa kedua. Kemasukan R Surendren, D Surendran dan Amirulhadi Zainal membolehkan kita menguasai bahagian tengah yang merupakan bahagian bermasalah pada mulanya. Ini jelas kelihatan apabila 20 minit terahir memang milik kita."

NEGERI SEMBILAN: 22-Farizal Harun, 5-Alif Samsudin (5-Rahman Zabul), 7-Aidil Zafuan Radzak, 12-Shukor Adan, 15-Ching Hong Aik, 9-Shahurain Abu Samah (14-K.Thanaraj), 17-Idris Karim, 23-Rezal Zambery Yahya (c), 6-S.Kunanlan, 18-Norizam Salaman (28-Asyraf Al-Japri), 8-Zaquan Adha Radzak.

SELANGOR: 21-Hamsani Ahmad, 3-Razman Roslan, 5-Khairul Anuar Baharom, 6-Nasriq Baharom, 4-Asraruddin Putra Omar, 18-Liew Kit Kong (19-D.Surendran), 8-Safiq Rahim, 14-Hardi Jaafar (23-R.Surendren), 7-Farderin Kadir (20-Amirulhadi Zainal), 17-Amri Yahyah (c), 10-Safee Sali.

Tweet
Share
Joomla Templates and Joomla Extensions by ZooTemplate.Com
SELANGORFC.COM © 2002-2011 | Dibangunkan oleh Red Yellow Tree



  • Forgot your password?
  • Forgot your username?
  • Create an account
*
*
*
*
*

* Field is required