 |
 |
| NAMA PENUH: R Arumugam |
| TARIKH LAHIR: 31 Januari 1953 |
| POSISI: Penjaga Gol |
| PASUKAN TERDAHULU: - |
|
Saiz tangannya yang panjang dan corak lompatannya semasa menangkap bola mengundang gelaran 'Spiderman' dari peminat bolasepak tempatan ... Pada 1970-an dia pernah terlepas tendangan Bakri Ibni yang membolosi antara kedua kakinya mengakibatkan Selangor kalah kepada Perlis, menyebabkan dia dikritik hebat oleh media tempatan yang sukar menerima tendangan sebegitu boleh terlepas dengan mudahnya
- 1971: Mula bermain untuk Selangor pada usia 18 tahun di kejohanan Piala Burnley 1971 ... Pada tahun tersebut, selain dari Piala Burnley, turut membantu Selangor memenangi Piala Razak.
- 1972: Mula bermain untuk skuad senior, menggantikan penjaga gol berpengalaman Selangor dan skuad Olimpik 1972 negara Lim Fung Kee yang mula dimamah usia dan kerap mengalami kecederaan
- 1973: Turut mengambil-alih posisi Lim Fung Kee dalam skuad kebangsaan ketika berusia hanya 20 tahun ... Penampilan pertama bersama skuad negara adalah di pusingan kelayakan Piala Dunia di Seoul, Korea Selatan ... Turut mewakili negara di Sukan Sea 1973 dan memenangi Pestabola Merdeka ... Walaupun melepaskan 4 gol dalam perlawanan menentang Perak dalam separuh akhir Piala Malaysia menyaksikan agregat terikat 5-5, beliau kemudian menjadi hero dalam sepakan penalti untuk membantu Selangor ke perlawanan akhir ... Beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pertamanya dan membantu skuad Merah Kuning menewaskan Terengganu 2-1
- 1974: Membantu Malaysia mengekalkan kejuaraan Pestabola Merdeka dengan menewaskan Korea Selatan 1-0... Mencipta kenangan paling manis dalam kariernya apabila membantu Malaysia memenangi pingat gangsa di Sukan Asia di Tehran
- 1975: Mewakili Malaysia di Sukan Sea ... Membantu Selangor menjuarai Piala Malaysia menewaskan Singapura 1-0 dalam perlawanan akhir ... Menjadi wira negara ketika menidakkan barisan serangan lawan yang diketuai Brian Kidd dalam perlawanan persahabatan menentang Arsenal, Malaysia menang 2-0 hasil jaringan rakan sepasukannya dalam skuad Selangor, Mokhtar Dahari
- 1976: Bersama Selangor menjuarai Piala Malaysia buat kali ketiga dalam kariernya dengan menewaskan Singapura 3-0 ... Bersama skuad kebangsaan menjuarai Pestabola Merdeka dengan menewaskan Jepun 2-0 dalam perlawanan akhir
- 1977: Mewakili Malaysia di Sukan Sea ... Mewakili negara dalam Pestabola Merdeka ... Walaupun hanya melepaskan 3 gol dari enam perlawanan, Malaysia hanya mampu menduduki tangga ketiga ... Kedudukannya sebagai penjaga gol utama skuad Selangor dan kebangsaan mula tergugat dengan kehadiran penjaga gol muda Rashid Hassan
- 1978: Lebih banyak menghabiskan bangku simpanan di belakang Rashid Hassan ... Namun segala-galanya berubah apabila kegugupan Rashid di dalam perlawanan akhir menentang Singapura menyaksikan Arumugam dibawa masuk setelah Selangor ketinggalan dua gol di separuh masa pertama ... Kesudahannya Selangor bangkit untuk menang 4-2
- 1979: Mempamerkan aksi menakjubkan bagi menidakkan Singapura dalam perlawanan akhir Piala Malaysia ... Selangor menjadi juara dengan kemenangan 2-0 ... Bersama skuad Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka sebagai juara bersama dengan Korea Selatan B (seri 0-0 dalam perlawanan akhir)
- 1980: Walaupun membantu Malaysia layak ke Sukan Olimpik, beliau kecewa apabila Malaysia mengambil keputusan untuk memboikot Sukan tersebut ... Tambah mengecewakan apabila kecederaan akibat kemalangan menyebabkan Ong Yu Tiang merampas jersi nombor satunya dalam skuad Selangor sewaktu perlawanan akhir Piala Malaysia yang menyaksikan Selangor tewas kepada Singapura ... Turut terlepas aksi skuad kebangsaan di Pestabola Merdeka disebabkan kemalangan itu
- 1981: Mengubat kekecewaan tahun terdahulu apabila bersama rakan-rakan membenam Singapura 4-0 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 1981
- 1982: Mengekalkan Piala Malaysia di bumi Selangor hasil persembahan cemerlang ketika menewaskan Terengganu 1-0 dalam perlawanan akhir
- 1983: Buat pertama kali dalam kariernya bersama skuad Merah Kuning, Arumugam dan Selangor tewas dalam perlawanan akhir Piala Malaysia kepada Pahang 2-3 ... Menubuhkan kelab bolasepak Starbrite SC khusus untuk melatih anak-anak muda di kawasan tempat tingal beliau
- 1984: Membantu Selangor menebus kekecewaan Piala Malaysia tahun lalu apabila menewaskan Pahang 3-1 dalam perlawanan akhir
- 1986: Menjadi kapten skuad Selangor buat pertama kali dan membantu Selangor menjuarai Piala Malaysia menewaskan Johor 6-1 ... Terpaksa bersara awal dari terus mewakili negara berikutan kekecewaan ramai terhadap persembahannya sewaktu pusingan kelayakan Piala Asia di Seoul dan tuduhan rasuah mengakibatkan dia tersingkir dari pasukan kebangsaan ... Secara keseluruhannya memenangi 196 caps (tidak semuanya perlawanan bertaraf 'A') untuk Malaysia, kurang 4 dari sasaran peribadinya
- 1988: Terbabit dengan satu lagi kemalangan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan pada 5.25 pagi 18 Disember 1988 yang meragut nyawanya ketika berusia 35 tahun ... Mendiang meninggalkan seorang balu dan dua orang anak perempuan
- 1989: Sebagai mengenang jasa-jasa beliau, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Public Bank (majikan) telah menubuhkan satu Tabung Amanah di atas nama Mendiang pada 5 Januari 1989