Dollah Salleh

Nama: Dollah Salleh
Tarikh Lahir: 23 Oktober 1963
Jawatan: Ketua Jurulatih
Pasukan: MPPJ
 

Baru dua puluh empat bulan beliau berkecimpung dalam arena kejurulatihan, Dollah Salleh telah berjaya memenangi Piala Malaysia di samping membawa dua buah pasukan Liga Perdana berlainan mara ke Liga Super.

Dollah Salleh mula berjinak-jinak dalam arena kejurulatihan secara kebetulan pada 2001. Pada ketika itu, kegagalan Dollah dalam perniagaan isotonik setelah menggantung but secara rasmi pada 1999 memberikan beliau lebih masa untuk membuat pelbagai aktiviti termasuk riadah.

Setiap petang Dollah beriadah di Stadium Petaling Jaya di mana skuad MPPJ menjalani latihan. Hubungan Dollah dengan pasukan MPPJ mula terjalin tambahan pula jurulatih MPPJ, Reduan Abdullah merupakan rakan beliau.

Pengurus pasukan MPPJ ketika itu, Yusof Shamsudin berjaya memujuk Dollah berkhidmat untuk MPPJ. Hasil pengalaman luas beliau telah berjaya membantu MPPJ menjuarai Piala FAM pada 2001 sekaligus layak ke Liga Perdana Dua. Namun prestasi MPPJ di Liga Perdana Dua 2002 agak kurang memberangsangkan.

Tahun 2003 menjadi titik tolak kepada perubahan kerjaya Dollah Salleh. Dia mulanya enggan bermain lagi, namun pengurusan MPPJ tetap mahukan khidmatnya hingga persetujuan dicapai agar beliau menjadi penolong jurulatih kepada Reduan.

Pada tahun itu juga, MPPJ mengalami pergolakan dalaman. Rakan Dollah, Reduan meninggalkan pasukan kerana salah-faham dengan pengurusan. Tempat Reduan diganti oleh Ken Shellito, namun selepas prestasi menjunam, nama Dollah disebut-sebut untuk menjawat jawatan ketua jurulatih.

Dollah tidak perlu menunggu lama apabila Ken Shelito secara mengejut mengambil keputusan meninggalkan pasukan. Jurulatih Inggeris itu menyerahkan notis peletakan jawatan dalam tempoh tiga bulan kepada pengurusan MPPJ pada 2 Jun 2003 selepas baru memegang jawatan kira-kira empat bulan.

Perlawanan pertama Dollah sebagai jurulatih MPPJ bermula dengan kekalahan 0-1 kepada TNB Kelantan pada 8 Jun 2003 sebelum tewas lagi kepada Brunei 3-4 seminggu kemudian.

Dollah mengecap kejayaan pertama apabila membelasah Negeri Sembilan 6-2 sebelum dua kemenangan berturut-turut 3-2 ke atas Kuala Lumpur dan 8-0 ke atas TKN Perak menjamin laluan MPPJ ke saingan Piala Malaysia.

Dollah kemudiannya mengemudi MPPJ layak ke pusingan akhir play-off Liga Super selepas menundukkan Negeri Sembilan dengan agreget 6-5 sebelum tewas kepada Sarawak sekaligus menidakkan impian pasukan itu beraksi di liga elit.

Saingan Piala Malaysia 2003 jelas membuka mata peminat bolasepak terhadap kemampuan Dollah Salleh sebagai jurulatih walaupun dikatakan mentah dan kurang berpengalaman.

Setelah berjaya menjadi naib juara kumpulan C yang turut menampilkan Selangor, Pulau Pinang dan Sabah, Dollah dan MPPJ menyingkirkan Pahang di peringkat suku akhir sebelum membenam cabaran Perlis di separuh akhir sekaligus mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Dollah Salleh jelas mencipta keajaiban apabila membawa MPPJ Selangor muncul kelab pertama menjuarai Piala Malaysia dengan menewaskan Sabah 3-0 di Bukit Jalil. Tiada siapa menyangka, hanya 4 bulan memegang jawatan jurulatih, Dollah mampu melakar kegemilangan menjulang piala paling berprestij tanahair itu.

Dollah bukanlah seorang yang mudah berpuas hati. Ini terbukti apabila hanya 25 hari selepas menjulang Piala Malaysia, Dollah berangkat ke Bangkok untuk menjalani kursus kejurulatihan AFC untuk mendapatkan lesen A selama sebulan sekaligus mengorbankan sambutan Aidilfitri beliau pada tahun itu.

Musim berikutnya Dollah meneruskan kecemerlangan musim lalu apabila memenangi Piala Sumbangsih dalam aksi sulung Liga Malaysia 2004. Beliau turut membawa MPPJ menyingkirkan Kedah dengan agregat 9-6 pada pusingan kedua untuk mara ke pusingan ketiga Piala FA sebelum tewas kepada Johor FC. Di peringkat liga, MPPJ bersaing rapat dengan MK Land sehingga ke penghujung saingan sebelum muncul juara Kumpulan A Liga Perdana dengan jurang 3 mata seterusnya meraih tempat ke Liga Super 2005. Dollah Salleh kemudiannya meraih kejayaan ketiga peribadi apabila MPPJ menewaskan juara Kumpulan B Telekom Melaka 3-2 untuk dinobatkan Juara Liga Perdana 2004.

Kejayaan dan reputasi MPPJ yang menjuarai Piala Malaysia musim 2003 dan Piala Sumbangsih 2004 mendorong Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri memilih kelab itu mewakili Negeri Selangor untuk menentang pasukan pilihan Liga Singapura pada perlawanan Piala Sultan Selangor, di Stadium Nasional Singapura pada 16 Mei 2004. Dollah dan MPPJ jelas tidak mengecewakan apabila diisytihar juara bersama setelah seri 2-2.

Sebagai juara bertahan, Dollah mengimpikan MPPJ mengulangi kehebatan musim lalu, namun cabaran pasukannya dalam kempen Piala Malaysia 2004 terkulai layu dengan hanya mencatat satu kemenangan dan menduduki tangga terakhir peringkat kumpulan.

Keupayaan Dollah jelas dikagumi bekas pasukannya Selangor yang menawarkan tugas melatih pasukan Merah Kuning itu bagi menghadapi cabaran 2005. Jelas, cabaran mengemudi pasukan elit seperti Selangor walaupun hanya beraksi di Liga Perdana tidak mudah ditolak jurulatih muda seperti Dollah. Dengan hasrat untuk memajukan karier, tanggal 3 November 2004, Dollah sah menerajui Selangor setelah menandatangani kontrak setahun (tambahan setahun).

Penghijrahan beliau turut disertai empat anak didiknya dari MPPJ: Aiman Firdaus Tan, Jamsari Sabian, Norhisham Kamarudin dan Haris Safwan Kamal.

REKOD LIGA
TAHUN
PASUKAN
P
M
S
K
J
B
2003 MPPJ
5
3
0
2
20
9
2004 MPPJ
25
14
6
5
52
30
2005 Selangor
20
16
2
2
60
24
Data sehingga 9 Julai 2005
REKOD PIALA FA
TAHUN
PASUKAN
P
M
S
K
J
B
2004 MPPJ
4
2
0
2
13
10
2005 Selangor
5
3
2
0
11
5
Data sehingga 29 Jun 2005
REKOD PIALA MALAYSIA
TAHUN
PASUKAN
P
M
S
K
J
B
2003 MPPJ
11
6
4
1
22
13
2004 MPPJ
6
1
1
4
6
12
Data sehingga 29 Jun 2005