Pilihan Selangor memastikan kesudahan yang saksama agar tidak terbenam dalam upacara perasmian yang gilang-gemilang di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Kesilapan di atas padang bukan saja dilakukan oleh pemain, malah pihak pengurusan stadium turut membuat kesalahan dalam mengukur garisan bulatan tengah.
Kelewatan permainan bagaikan mencabar kesabaran penonton yang mujur disajikan dengan pancaran laser dan tarian oleh pelajar sekolah seluruh Selangor dalam upacara pembukaan yang menarik.
Asakan pilihan Selangor lebih tersusun dengan rangkaian penggempur yang lincah diketuai oleh pemain dari Australia, Eddy Krncevic, menunjukkan persefahaman mantap sekalipun baru sehari mengenali pemain tuan rumah.
Di sisinya ialah penyerang Bosnia, Dejan Mostahinic, sambil dibantu oleh kepantasan Anuar Abu Bakar.
Namun Dundee United membuka tirai jaringan pada minit ke-56.
Sanbagamaran cuba membuat terjahan di bucu petak penalti tapi terbabas dan kelihatan terpegang bola.
Sejurus itu, McKinlay pantas merembat melepasi Bruce Grobbelaar yang sekadar melihat bola mencecah gawang.
Namun Anuar tepat tampil pada waktunya. Gema sorakan kira-kira 70,000 penonton menggamatkan stadium bernilai RM460 juta itu apabila anak tempatan, mengimbangi kedudukan pada minit ke-62.
Zsolt Bucs, pemain tengah Hungary yang banyak mengatur gerakan dari kawasan sendiri, hampir memastikan Selangor mendahului apabila menunggu detik yang tepat untuk membuat percubaan pada minit ke-66.
Malang bagi tuan rumah apabila kuisannya menewaskan Henrik Jorgensen tetapi palang menjadi penghalang Selangor mengukir kemenangan sebagai menghiasi upacara pembukaan stadium kebanggaan itu.
(Sumber: Berita Harian 16 Julai 1994) |