SELANGOR FC
BERITA

KEMASKINI: Kecederaan Pemain Skuad Utama

Apr 15, 2021 - FAS

Setelah saingan Liga Super 2021 berlangsung hampir 10 minggu sejak awal tahun ini, jadual perlawanan yang padat telah benar-benar menguji kekuatan dan kecergasan semua pemain yang bermain.

Setiap pasukan perlu memastikan pemain kekal cergas sebelum sesebuah pasukan berentap dan memastikan pemain mendapat proses pemulihan dan rehat yang secukupnya sesudah perlawanan berakhir.

Kecederaan adalah perkara terakhir yang diingini oleh sesebuah pasukan. Sungguhpun demikian, biarpun segala langkah pemulihan dan pencegahan kecederaan dipraktikkan, kecederaan tetap boleh berlaku terutamanya sewaktu perlawanan berintensiti tinggi dimainkan.

Dari kem Selangor sendiri, kini terdapat empat pemain yang masih menjalani proses pemulihan iaitu Nik Sharif, Halim Saari, Wan Zack Haikal dan yang terbaru Tim Heubach mengalami kecederaan jangka masa panjang untuk musim ini.

Berikut adalah perkhabaran terbaru dari pemain-pemain ini:
 
NIK SHARIF HASEEFY

Pasukan Selangor FC memulakan Liga Malaysia dengan ketiadaan pemain sayap lincah terbaharu, Nik Sharif Haseefy yang mengalami kecederaan di buku lali kirinya semasa menjalani latihan pramusim.

Nik Sharif telah selesai menjalani tempoh rawatan dengan sempurna pada bulan Mac yang lalu dan beliau sekarang sedang melakukan sesi meningkatkan kekuatan (strenghtening) selain sudah mula berlari untuk mengembalikan kecergasan.

Beliau dijangka kembali berlatih bersama pasukan utama pada penghujung bulan ini atau pada bulan awal Mei ini.
 
HALIM SAARI

Kehilangan Halim Saari begitu dirasai di kem Selangor. Beliau yang ditimpa kecederaan ligamen krusiat (ACL) sewaktu menentang Terengganu FC dalam Liga Super 2021 pada awal bulan lalu dijangka bakal menjalani proses pemulihan dalam tempoh yang lebih panjang.

Halim yang sudah menjalani pembedahan kini hampir dua minggu mengikuti proses pemulihan dan beliau menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menjalani rehabilitasi dan mahu segera kembali menyarung jersi Selangor. 
 
WAN ZACK HAIKAL

Pemain sayap SFC, Wan Zack Haikal telah disahkan mengalami kecederaan meniskus di lutut kanan semasa perlawanan persabahatan menentang Negeri Sembilan FC.

Beliau yang telah beraksi dalam 4 perlawanan sepanjang musim ini kini sedang menjalani sesi pemulihan yang bermula sejak 2 minggu yang lalu dan memerlukan sekurang-kurangnya 6 minggu lagi untuk kembali beraksi.
 
TIM HEUBACH

Pemain pertahan tengah tinggi lampai dari Jerman ini adalah pemain terbaru yang tersenarai sebagai pemain terbaru yang mengalami kecederaan di SFC.

Sewaktu menentang pasukan Kedah Darul Aman FC dalam saingan Liga Super 2021 pada minggu lalu, Tim telah mengalami kecederaan bawah badan (lower body) semasa separuh masa pertama perlawanan selepas bertembung dengan pemain penyerang pasukan lawan.

Beliau kemudiannya menjalani pembedahan dan dijangka mengambil masa selama 1 ke 2 bulan untuk proses pemulihan sebelum boleh disenaraikan semula untuk bermain semula.


SFC komited untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada Nik Sharif, Halim Saari, Wan Zack Haikal dan Tim Heubach dalam menjalani proses pemulihan dan berharap agar mereka akan kembali menyarung jersi Selangor secepat mungkin.

Demi kebanggaan!