SELANGOR FC
BERITA

SFC Terus Bersama Joma Sehingga 2023

Sep 23, 2021 - FAS

Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) hari ini mengumumkan bahawa tajaan jersi pasukan bersama jenama sukan antarabangsa, Joma dari Sepanyol akan disambung sehingga ke musim 2023.

David Wong, Pengarah Urusan Ganador Marketing Sdn.Bhd. yang juga pengedar tunggal jenama Joma di Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Thailand berkata, “Kami amat berbangga kerana terus diberi kepercayaan untuk menjadi rakan strategik pasukan Selangor yang mempunyai sejarah kejayaan yang hebat dalam industri sukan bola sepak di negara ini.”

“Kami juga percaya dengan misi dan visi DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj termasuk pengurusan kini yang dinamik, dan melihat Selangor FC kini berada di landasan yang tepat untuk kembali menjadi pasukan yang digeruni di Malaysia.”
 
Jumlah penajaan bernilai RM2.1 juta setahun daripada Joma meliputi penajaan set jersi sepenuhnya untuk skuad Liga Super, skuad Liga Premier, skuad Piala Presiden, skuad Piala Belia, skuad futsal lelaki dan wanita termasuk set latihan. Tajaan Joma juga meliputi pakaian kepada kesemua pengadil Liga FAS termasuk pakaian kasual perjalanan dan penajaan tunai kepada kelab.

Ketua pegawai eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon pula berkata “Selangor FC amat berterima kasih kepada pihak Joma kerana telah bersetuju untuk meneruskan kerjasama ini dengan Selangor dan kami yakin penyokong Gergasi Merah juga teruja dengan perkara ini”.

"Sejak tahun 2019, kelab sangat menghargai komitmen yang telah diberikan oleh Joma dan ia dapat dilihat dengan sambutan hangat yang diterima dari penyokong Gergasi Merah melalui penjualan jersi yang berjaya mencapai lebih 100,000 unit terjual dalam tiga musim lalu, serta maklumbalas positif yang disuarakan oleh pihak pengurusan dan para pemain Selangor."

Pengerusi Selangor FC, DYTM Tengku Amir Shah juga menzahirkan nada yang sama, "Joma telah menjadi rakan strategik dan sebahagian daripada perjalanan kami sepanjang tiga tahun ini. Paling penting, Joma sentiasa meletakkan kepentingan penyokong Selangor sebagai keutamaan. Oleh itu, Beta amat berbesar hati untuk meneruskan kerjasama ini sehingga musim 2023."

Jenama Joma yang telah diasaskan pada tahun 1965 kini boleh didapati di lebih 70 negara dunia juga membekalkan jersi kepada lebih 250 pasukan seluruh dunia termasuk Swansea City, Getafe, Villarreal, Ukraine, Romania, dan banyak lagi. 

Selangor FC mengucapkan terima kasih kepada Joma Malaysia atas jalinan kerjasama ini serta akan terus berusaha bagi mengembangkan hubungan strategik dengan entiti-entiti korporat yang lain demi membawa pasukan ini ke tahap yang lebih tinggi.

Demi kebanggaan.