SELANGOR FC
NEWS AND UPDATES

Wajah Bola Selangor: Syafiqa Irisya


Nama saya Syafiqa Irisya Bt Shazimy tetapi saya lebih mesra dipanggil Esya. Berumur 20 tahun, saya dilahirkan di negeri Indera Kayangan, di sebuah bandar kecil di utara Malaysia, Kangar, Perlis. Kini saya sedang melanjutkan pelajaran di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Shah Alam.

Bola sepak ini bukanlah sesuatu yang baru bagi saya. Sebagai sukan yang sedang meningkat naik dalam kalangan wanita dan kian mendapat tempat di peringkat yang lebih tinggi di serata dunia, saya mula mengenali bola sepak di awal bangku persekolahan lagi.

Sejak kecil, saya gemar dan banyak menghabiskan masa bermain bola sepak, kerana kebanyakan masa bermain saya lebih banyak diluangkan dengan kawan-kawan adik lelaki saya berbanding kawan-kawan perempuan saya di sekolah.


Saya terlalu rapat dengan budak-budak lelaki di kawasan perumahan saya hinggakan ada segelintir daripada jiran saya yang menggelarkan saya “tomboy”.

Sejujurnya mereka tidak tahu yang saya sebenarnya tidak mempunyai ramai kawan-kawan perempuan di sekolah. Jadi, saya tidak ada banyak pilihan yang membuatkan saya lebih cenderung dan selesa untuk berkawan dengan budak-budak lelaki dan lebih terbuka untuk bermain bola sepak.

Penglibatan saya secara serius dalam bidang sukan bermula semasa di bangku sekolah dengan sukan badminton. Namun disebabkan peralatannya yang agak mahal, saya terpaksa berhenti daripada meneruskan perjalanan saya dalam sukan ini setelah diperkenalkan oleh adik saya sendiri.

Bagi saya, adik saya adalah adik beradik yang paling rapat dengan saya di dalam keluarga kami dan dia juga merupakan seorang pemain bola sepak- atau lebih tepat lagi, bekas pemain bola sepak.

Adik saya pernah mengalami kecederaan di kedua-dua belah lututnya dan terpaksa mengundur diri daripada sukan ini. Tetapi, dialah insan yang  tidak henti-henti memberikan dorongan kepada saya dan sentiasa mahu lihat saya capai tahap yang lebih baik.

Kalau hendak diikutkan, perjalanan dunia bola sepak saya bermula ketika saya bermain bola di taman. Saya masih ingat pada masa itu, ada seorang pak cik dari taman kami ini yang suka menggilap bakat-bakat muda bola sepak penduduk setempat di taman kawasan kami tinggal.

Bermula dengan berlatih futsal secara peribadi tanpa mengenakan sebarang caj atau bayaran sehinggalah pendedahan sepenuhnya dalam arena futsal - semuanya melalui tunjuk ajar dari dia.

Pernah juga saya bertanya kepada diri sendiri, “Dari mana datang semangat sebegini dalam seseorang?” Sanggup berkorban masa, tenaga dan wang sendiri tanpa sebarang pulangan.

Akhirnya, barulah saya faham setelah  berkenalan dengan anak pak cik tersebut  yang juga merupakan seorang pemain futsal pasukan kebangsaan.

Ia membuatkan saya sedar, bola sepak ini adalah darah daging seseorang, bukan hanya sekadar sukan atau aktiviti riadah.

Daripada situ, saya mula belajar mengenai asas-asas penting seperti kawalan bola dan taktikal bagi permainan futsal. Pada tahun 2015, saya berjaya mewakili pasukan Kedah ke kejohanan Liga Futsal Kebangsaan (LFK).

Meskipun sudah bermain di peringkat kebangsaan pada masa itu, saya masih kurang diberikan peluang untuk bermain. Hanya memanaskan kerusi bangku simpanan hampir setiap perlawanan.

Tetapi, ia tidak membuatkan saya mahu berputus asa. Saya sedar, yang saya masih muda dan masih banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari.

Kemudian, saya meneruskan perjalanan saya mencuba nasib bersama skuad bola sepak wanita dengan pasukan Kedah selama 2 tahun.

Perkara yang sama berulang kembali. Saya masih diletakkan di bangku simpanan sahaja. Situasi inilah yang banyak menguji perjalanan  karier saya dalam bola sepak.

Walau bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana ibu bapa saya banyak memberi dorongan bagi meneruskan impian saya di dalam bidang ini. Berkat doa mereka, saya mengenali erti perjuangan, membuatkan tiada istilah putus asa yang wujud dalam diri ini.

Pada tahun ini, saya berjaya menyertai pasukan futsal KL Imigresen untuk LFK. Pelbagai cabaran yang perlu saya hadapi sepanjang menyertai pasukan ini. Berbekalkan minat yang mendalam terhadap sukan ini, kenalan yang tidak ramai dan keluarga yang jauh dari sisi, saya cekal hati memberikan seluruh komitmen kepada pasukan.

Yang paling tidak dapat saya lupakan, saya pernah terpaksa meminjam motor senior untuk menghadiri sesi pemilihan pemain, hanya untuk ditahan polis disebabkan motor yang saya pinjam itu tidak mempunyai dokumen yang secukupnya.

Alhamdulillah, saya terpilih untuk mewakili KL Imigresen.

Pada tahun ini juga, saya turut mewakili pasukan futsal KL bagi kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA). Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk menyertai pasukan ini kerana terdapat beberapa pemain kebangsaan.

Pengalaman ini telah banyak mengajar saya dan peluang ini saya manfaatkan sebaiknya untuk saya terus belajar dan memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

Kini, saya bersama dengan pasukan bola sepak wanita Selangor. Diletakkan dalam sebuah pasukan yang baik dan sangat berkebolehan, saya sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk mewakili pasukan ini.

Saya berharap agar saya mampu mengukir kejayaan bersama pasukan ini dan mencipta memori indah bersama Red Giants.

Terima kasih, Selangor!

 

Syafiqa Irisya,
Pemain Bolasepak Wanita Selangor, Penggemar Futsal, Pelajar, Seorang Kakak.

 

NOTA: Sekiranya anda mempunyai kisah individu yang menarik dan ingin anda kongsikan di dalam siri Wajah Bola Selangor ini, sila hubungi kami di laman media sosial, Facebook atau Twitter.

Baca kisah sebelum ini:

Wajah Bola Selangor - B. Satiananthan