Oct 10, 2019 - FAS
Nama saya Noor Azizah binti Shahrani. Rakan-rakan sepasukan memanggil saya Jijah dan saya dilahirkan di Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang pada tahun 1995.
Sebagai seorang pemain bola sepak wanita, kami tidak boleh bermain bola sepak sepenuh masa kerana tiada liga profesional khas untuk bola sepak wanita.
Disebabkan itu, kebanyakan kami mempunyai kerjaya sepenuh masa. Jika tidak bermain bola, saya bekerja sebagai pembantu penguatkuasa di Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Kepada yang mempunyai saman tertunggak dan mahu “deal tepi” dengan saya, jawapan saya mudah, “tak boleh kawtim”.
Berbalik kepada bola sepak, saya diberi pendedahan pertama semasa saya berumur 8 tahun oleh bapa saya. Pada ketika itu, ibu saya melarang saya bermain bola sepak kerana katanya bola sepak ini sukan untuk budak-budak lelaki.
Mujurlah saya ada nenek saudara yang menyokong minat saya dalam sukan bola sepak ini. Nenek jugalah yang memujuk ibu saya agar mengizinkan kepada saya untuk melanjutkan minat saya dalam sukan ini.
Sebenarnya, saya mula bermain secara kompetatif dalam sukan futsal. Pada usia saya menjangkau 16 tahun, saya sudah mula mewakili pasukan PKNS FC di bawah bimbingan Coach Yong, yang kini menjadi jurulatih pasukan futsal lelaki negara.
Namun demikian, kerjaya saya dalam futsal tidaklah menggalakkan kerana saya selalunya digunakan sebagai seorang impact sub. Pada tahun 2015, saya telah berjaya memenangi liga futsal kebangsaan pada masa itu dengan pasukan futsal wanita Selangor.
Pada tahun yang sama juga, saya juga telah dijemput oleh Pahang FA untuk mewakili pasukan bola sepak wanita mereka. Dari saat itulah cinta saya pada sukan bola sepak ini mula mekar.
Saya juga amat bernasib baik kerana sepanjang kerjaya bola sepak saya, saya dapat berlatih bersama jurulatih-jurulatih yang sangat berkaliber.
Jurulatih pertama saya, Zamri bin Ismail, ataupun nama glamour beliau, “Capt”, banyak memberi tunjuk ajar dan dorongan kepada saya dan menjadi salah satu kawan baik kepada saya sehingga sekarang
Coach Kamal Daut dan Coach Norhisham Abas juga antara individu yang banyak memberi sokongan, tunjuk ajar dan dorongan kepada saya terutamanya saat-saat di mana saya hampir putus asa dalam kerjaya bola sepak saya.
Dorongan dan sokongan daripada ketiga-tiga individu penting dalam kerjaya bola sepak saya inilah yang memberi saya semangat untuk memberi 100% keupayaan saya dalam Piala Tun Sharifah Rodziah tahun ini.
Saya bersyukur apabila saya berjaya menamatkan kejohanan ini sebagai penjaring terbanyak untuk pasukan Selangor dan pencapaian ini lebih bermakna kerana pasukan Selangor juga telah mengakhiri kejohanan di tempat ke-4 keseluruhan.
Sebenarnya, saya sudah mula memberi perhatian penuh kepada bola sepak semenjak Piala Tun Sharifah Rodziah tahun 2016 lagi.
Di bawah tunjuk ajar Coach Rama, Coach Zamri dan Coach Pichay, saya dapat belajar bermain bola sepak dengan baik. Ball mastery saya juga bertambah baik dan keupayaan dan kesedaran taktikal saya juga meningkat.
Berbekalkan tunjuk ajar dari ketiga-tiga individu ini, saya mula merasai kemanisan sebenar bermain bola sepak.
Sejujurnya, saya amat berharap agar bola sepak wanita diberi pendedahan yang sewajarnya di Malaysia.
Saya merasakan, negara kita ini tidak ketandusan bakat, tetapi kami tidak diberi pendedahan yang cukup untuk memberi saingan seperti negara-negara jiran.
Nasihat saya kepada wanita-wanita di luar sana hanya satu; kalau ada minat untuk bermain bola, cari teman-teman dan bermain bersama.
Tidak kisahlah semua kawan kaki bangku, tetapi lama kelamaan kita semua pasti akan dapat touch untuk menyepak bola dengan teknik yang betul.
Kalau ingin belajar, tanya rakan-rakan yang pandai main. Jangan rasa segan atau merendah diri, kelak nanti kita akan rugi.
Harapan saya, suatu hari nanti, bola sepak wanita di Malaysia ini mampu memberi saingan, sekurang-kurangnya di peringkat Asia.
Noor Azizah binti Shahrani,
Penjaring Terbanyak Pasukan Bola Sepak Wanita Selangor, Pembantu Penguatkuasa MBPJ, Sahabat & Seorang Anak.