SELANGOR FC
NEWS AND UPDATES

Kenali Pemain Selangor: Faizzudin Abidin


Pemain yang memakai jersi #8 pasukan Selangor ini mendekati bola sepak seawal umur 4 tahun lagi. Pada usia muda, Faizzudin lebih banyak menimba pengalaman bermain dengan mereka yang lebih tua daripada beliau.

Bermula dengan mewakili SK La Salle (2) Brickfields dan Kuala Lumpur di peringkat rendah, Faizzudin sebenarnya lebih cenderung kepada sukan sepak takraw sebelum beralih arah ke sukan futsal yang telah banyak membantu meningkatkan permainan bola sepak beliau.

Selepas semakin mendapat rentak dan sentuhan dalam bola sepak melalui futsal, beliau mula menyertai beberapa sesi pemilihan skuad Piala Belia Selangor selepas tamat SPM.

“Sebenarnya masa itu tengah

exam paper math

, tetapi saya tetap minta ayah bawa pergi sesi pemilihan. Masih segar lagi dalam ingatan, pukul 5:30, pergi naik motor ke Kajang, dan saya tak terpilih pun.” ujar Faizzudin sambil ketawa.

Beliau yang jelas tidak berputus asa kemudian terpilih semasa sesi pemilihan kedua di Banting semasa pasukan itu berada di bawah kendalian Jurulatih Nazli dan Zaidi.  Maka bermulalah episod perjalanan karier bola sepak bersama skuad Selangor.

Sepanjang mewakili pasukan Piala Belia Selangor, Faizzudin pernah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak pasukan dan kejohanan.

Beliau kemudian meneruskan perjalanan bersama skuad Piala Presiden dan turut dipanggil menyertai sesi latihan skuad utama Selangor semasa pasukan Gergasi Merah berada di bawah kendalian Ketua Jurulatih Mehmet Durokovic pada masa itu.

Faizzudin merupakan salah seorang penjaring buat pasukan Selangor semasa perlawanan akhir Piala Presiden yang telah menyajikan perlawanan menarik semasa Selangor membuat

comeback

empat gol menentang Terengganu selepas ketinggalan tiga kosong sekaligus membantu Selangor menjuarai kejohanan itu.

Ditanya tentang idola beliau dalam dunia bola sepak, Faiz berkongsi tentang bagaimana beliau melihat Amri Yahyah sehingga hari ini sebagai individu yang banyak menjadi inspirasi dalam hidupnya dari dulu.

“Hari ini meskipun telah menjadi rakan sepasukan, Amri banyak berkongsi beri pengajaran dan nasihat kepada saya untuk terus berjuang dan berusaha keras demi masa depan saya sendiri.” tambah beliau.

Faizzudin turut sempat menyatakan tentang potensi cerah yang ada bagi pasukan Selangor sekarang kerana keserasian yang wujud diantara pemain-pemain muda yang telah lama bermain bersama, digabungkan dengan pengalaman dari pemain-pemain lain, dan ini bakal menjanjikan persembahan yang lebih menarik dan mampu membantu Selangor pergi lebih jauh.

Musim lepas, Faizzudin Abidin telah tampil dalam 10 perlawanan buat skuad utama Selangor. Semoga doa dan sokongan penyokong akan dapat terus menjadi pemangkin buat Faizzudin Abidin di musim yang akan datang.