The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
NEWS AND UPDATES

Wajah Bola Selangor: Khairulanwar Isa


Nama saya Khairulanwar Isa, berusia 29 tahun dan saya adalah seorang

Personal Trainer dan juga Physical Fitness & Conditioning Coach bagi pasukan Selangor.

Semenjak kecil lagi hidup saya sudah banyak berkisar sekitar bola sepak.

Saya masa ingat yang saya punya keinginan yang sangat mendalam untuk bermain bola semasa kecil sehingga saya pernah minta emak untuk belikan saya kasut bola. Apa yang saya dapat kemudiannya adalah kasut Projog yang berharga RM40 masa itu.

Saya gunakan juga kasut itu untuk bermain bola.

Semasa zaman kanan-kanak saya, antara pemain yang sedang meningkat naik pada masa itu adalah David Beckham. Beckham pula gemar menggunakan sepasang boot berwarna putih ini.

Disebabkan minat terhadap beliau, saya mula menabung untuk miliki sepasang boot Line 7 yang sekurang-kurangnya berwarna putih kerana kononnya hendak jadi seperti Beckham. Adidas pada masa itu pula adalah jenama yang diluar kemampuan saya. Bagi saya tidak mengapa, asalkan ianya berwarna putih.

Pernah sekali, saya lewat pulang ke rumah daripada bermain bola petang-petang. Sepatutnya kami adik beradik perlu berada di rumah sekurang-kurangnya pukul 7, tetapi hendak dijadikan cerita, saya sampai di rumah pukul 7:02 petang. Ayah ambil boot yang saya beli daripada hasil simpanan saya itu, simpan dan kemudian buang.

Namun, tiada apa yang dapat menjadi penghalang saya untuk terus mengejar impian dan minat saya terhadap sukan bola sepak. Saya terus bermain hingga berjaya mewakili pasukan Negeri Sembilan ke Kejohanan Piala Belia tahun 2002.

Antara pemain yang pernah bermain dengan saya di akademi dahulu untuk Piala Belia, Farizal Harun, Shahurain Abu Samah dan Thanaraj. Kami tinggal bersama-sama di Rahang Square, PBNS dan pada masa itu saya baru berumur 14 tahun.

Kemudian saya mewakili MSSM NS pada usia 15 tahun dan bermain bersama Alif Samsudin, Fazli Rahim, Firdaus Azizul yang semuanya masih bermain untuk Felcra musim lepas semasa saya menjadi salah seorang jurulatih pasukan itu.

Saya masih ingat lagi, untuk mendapat tempat bagi posisi tengah yang saya main pada masa itu bukanlah mudah dan pertandingan antara pemain sangat sengit.

Hingga akhirnya, saya terpaksa mengambil keputusan untuk fokus kepada bidang lain yang mampu beri saya sedikit jaminan dan saya fikir, salah satu cara untuk saya capai impian saya adalah dengan menyambung pelajaran.

Tidak saya sangka, selepas saya mengambil keputusan untuk berhenti daripada bermain bola, saya terus diberi tawaran untuk hadir ke temuduga pengambilan pelajar jurusan

masscomm

pada mulanya dan bukan sains sukan.

Namun rezeki telah ditetapkan. Sesi temuduga itu dijadualkan semasa saya ada perlawanan di Sabah, jadi terpaksalah saya tolak.

Tidak dapat saya nafikan, meskipun niat untuk menyambung pelajaran itu tinggi, tetapi saya tidak mampu untuk tipu diri sendiri. Kehidupan saya yang sudah lama dengan bola sepak tidak dapat saya tinggalkan semudah itu.

Berbekalkan cinta yang mendalam pada bola sepak, saya memilih untuk terus kekal di dalam industri dengan meneruskan pengajian melalui jurusan sains sukan secara akademik.

Alhamdulillah, saya pernah tersenarai beberapa kali sebagai pelajar anugerah dekan semasa pengajian diploma saya di Arau. Meskipun beberapa kali terpaksa bertolak ansur dengan niat awal saya untuk berhenti terus daripada bermain bola sepak dan fokus sepenuhnya kepada pelajaran.

Semasa belajar, saya pernah dipilih untuk mewakili universiti saya bermain di kejohanan antara universiti-universiti Indonesia, Malaysia dan Thailand dan saya lihat penglibatan saya dalam bola sepak pada masa itu sedikit sebanyak bagi saya telah menjejaskan keputusan pelajaran saya.

Walaupun beberapa kali terpilih sebagai pelajar anugerah dekan, saya tamat pengajian dengan CGPA 3.49 dan bagi saya, ini adalah sesuatu yang agak kurang memuaskan.

Setelah tamat pengajian diploma sains sukan, saya terus melibatkan diri dalam industri

fitness

. Awal sekali saya bermula dengan latihan industri bersama True Fitness di Pavilion pada masa itu berbekalkan matlamat untuk kenal dengan lebih dekat bahagian

conditioning.

Selepas tamat latihan, saya terus menyambung pengajian saya di dalam bidang

Sport Science

di peringkat ijazah di Shah Alam dan terus mengkhususkan pembelajaran saya dalam bahagian

conditioning

.

Kali ini semasa berada di Shah Alam, saya betul-betul berhenti main bola selama lebih 2 tahun, tak sentuh langsung, termasuklah liga haram. Ini kerana saya sedar, peringkat ijazah, mata pelajaran semua agak sukar dan perlu fokus yang lebih.

Untuk gambarkan bagaimana ijazah sains sukan ini bukanlah semudah yang disangka, saya tidak pernah merasai kemanisan walau sekalipun tersenarai dalam anugerah dekan semasa belajar di tahap ini meskipun saya telah cuba sedaya upaya memberi tumpuan seratus peratus.

Tamat ijazah, saya kembali bersama True Fitness di Sunway Giza sebagai

Senior Personal Trainer

dan kali ini, ianya bukan lagi latihan, ia adalah kerjaya saya sepenuh masa.

Selepas setahun, saya mula mengintai peluang dan rancangan lain. Masih segar lagi dalam ingatan saya bagaimana selepas saya berhenti dari True Fitness kerana minat asal saya bukanlah dalam bidang

gym

, dan masa yang sama saya bercita-cita untuk mengejar sesuatu yang baru, saya terpaksa menganggur selama dua bulan sebelum menerima panggilan dari Selangor.

Perjalanan saya bersama Selangor sebenarnya bermula dengan pasukan Piala Presiden seawal Disember 2013, iaitu selepas setahun saya bersama dengan True Fitness. Dan saya kekal bersama skuad tersebut selama 4 tahun sehingga Disember 2017.

Dalam masa bersama membantu pasukan Piala Presiden Selangor itu, saya pernah terlibat dengan skuad yang bertanding di SUKMA sebanyak 2 kali, Piala Belia yang pada masa itu masih dianjurkan secara karnival, dan pernah juga secara sampingan naik turun bersama-sama membantu skuad Liga Super semasa Selangor berada di bawah kendalian Coach Mehmet.

Kami pernah menjuarai Piala Presiden pada tahun 2017 dan lebih kurang 10 orang pemain yang pernah bersama saya dari skuad tersebut kini telah diserap masuk ke dalam skuad utama Selangor. Saya sangat hargai bakat-bakat muda ini kerana hingga hari ini kami terus dapat bekerjasama dengan baik.

Sejujurnya, hingga tahun lepas, saya masih diberi tawaran untuk kekal bersama pasukan Piala Presiden, tetapi saya rasa sudah tiba masanya untuk saya ambil cabaran yang lebih dengan melatih pemain-pemain profesional dan

high performance athlete

setelah saya melalui beberapa kursus tambahan seperti

FIFA Fitness Course, AFC B License Football Coaching

dan

AFC Fitness Course Level 1A.

Jadi saya menyertai Felcra FC pada tahun 2018 dan berjaya bersama-sama membantu pasukan itu melayakkan diri ke Liga Super meskipun matlamat asal pasukan hanyalah untuk kekal sebagai antara

Top 5

Liga Perdana. Namun sayang, pasukan Felcra kemudiannya terpaksa dibubarkan atas sebab-sebab tertentu.

Jadi, saya kembali untuk bersama Selangor bagi musim 2019 ini.  

Sepanjang perjalanan saya melatih pemain-pemain bola sepak profesional, saya lihat pemain bola sepak di negara kita sentiasa bekerja keras untuk meningkatkan prestasi mereka secara individu.

Disamping kerjaya sepenuh masa, saya juga ada menyediakan servis kepada pemain-pemain yang inginkan latihan yang lebih secara berdaftar yang dikendalikan oleh saya sepenuhnya.

Shahrom Kalam antara yang mula-mula sekali datang

subscribe

untuk

extra training

. Kemudian datang Nazmi Faiz, yang pada masa itu membuat persiapan untuk pergi ke Jepun sebelum mengambil keputuusan menyertai JDT.

Fittri Shazwan, Shahurain Abu Samah, Zaquan Adha, Syahmi Safari, Khairul Azhan, Raimi Md Noor, Afiq Azmi dan ramai lagi antara nama-nama besar yang pernah datang untuk

extra training session

. Secara individu, saya pernah bekerjasama melatih lebih kurang 22 ke 23 orang pemain yang masih bermain hari ini.

Tetapi dalam banyak-banyak personaliti yang pernah saya bekerjasama, Mashidee Sulaiman adalah individu yang paling banyak menjadi inspirasi buat saya.

Fitness coach

Selangor yang sebelum ini dan merupakan individu yang berada bersama saya semasa saya mula-mula melibatkan diri dalam industri, yang telah banyak memberi tunjuk ajar kepada saya.

Seorang lagi individu yang banyak memberi impak dalam hidup saya adalah Dr Raja Firhad dari UiTM. Melihat beliau bekerja, pengalaman beliau bersama Liverpool, Dr Firhad banyak menjadi inspirasi saya untuk terus belajar dan mendalami bidang sains sukan ini secara akademik dan lebih profesional.

Matlamat saya dalam bidang ini mudah sahaja. Saya berharap yang saya dapat menjadi seorang yang memberi manfaat kepada pemain-pemain untuk meningkatkan mutu kecergasan dan permainan mereka sebagai satu tempat rujukan.

Bagi saya, pendidikan sangat penting. Jika diberi peluang, saya ingin cuba untuk menggunakan pengalaman yang ada, dicampur bersama dengan pendidikan sains sukan yang berkualiti, untuk terus menabur bakti dan mengangkat mutu bola sepak Selangor ke tahap yang lebih tinggi.

 

Khairulanwar Isa

Fitness Coach,

Best Conditioning Personal Trainer

True Fitness, Fitness Coach bagi Juara Piala Presiden 2017, Bekas Pemain Bola Sepak Belia Negeri Sembilan, Seorang Sahabat.