Oct 10, 2019 - FASWajah Bola Selangor merupakan koleksi temubual dan kisah-kisah individu yang dirakamkan dari padang, stadium, bandar, lebuh dan jalanan, bagi membawa di sebalik tabir kehidupan mereka yang merupakan sebahagian daripada dunia bola sepak Selangor.
—————
Nama saya Razlan Joffri bin Ali. Saya berasal daripada Terengganu dan lahir di Setiu, Terengganu. Tahun ini 2019 saya sudah berumur 34 tahun. Sebagai seorang budak kampung, saya hanya membesar di persekitaran rumah kawasan kampung. Yang banyak mendorong saya mengenal erti bola sepak ini adalah ayah saya. Saya adalah anak ke 3, dan di atas saya ada dua orang abang yang memang aktif tetapi hanya di peringkat sekolah dan daerah begitu sahaja. Dalam 7 orang kami adik beradik memang tiada seorang pun yang serius dalam sukan secara profesional. Semasa di Terengganu, di sekolah, saya memang aktif dan ayah saya memang beri sokongan penuh, daripada boot ke peralatan sukan, memang dia sediakan hinggalah saya berjaya mewakili Terengganu sampai ke peringkat MSSM. Setiap perlawanan yang saya main, mesti ayah ada. Saya bersekolah di Terengganu hingga darjah 6 dan kemudiannya saya sambung persekolahan di Sekolah Sukan Bukit Jalil pada tahun 1998. Semenjak daripada sekolah lagi saya aktif dalam sukan bola sepak, hinggakan sebelum dapat tawaran ke Sekolah Sukan Bukit Jalil, saya sudah terima tawaran dari Akademi Terengganu. Saya sertai Akademi Terengganu selama 2 minggu sebelum menyertai Sekolah Sukan Bukit Jalil. Kalau hendak diikutkan, saya mula bermain bola daripada darjah 4 dan setelah masuk darjah 6, saya wakili Terengganu ke peringkat MSSM. Saya masih ingat kejohanan yang diadakan di Melaka, panel jurulatih Bukit Jalil sudah datang buat pemilihan awal untuk diserap ke Bukit Jalil dan masa itu, 2 orang sahaja, penjaga gol kawan saya dan saya sahaja yang diberikan tawaran. Saya masih ingat semasa di tingkatan empat atau tingkatan lima, kami diberi peluang untuk sesi pemilihan pasukan kebangsaan bawah 16/17. Calon dan pemain daripada seluruh negara dipanggil balik untuk pemilihan masuk ke pasukan Malaysia bawah 16/17. Saya merupakan antara salah seorang yang terpilih bagi pasukan bawah 16 dan kemudian bawah 17 semasa tingkatan lima.Banyak juga kejohanan-kejohanan yang kami jelajahi, antaranya Lions Cup di Singapore. Walaupun berusia 17 tahun, tetapi kita telah didedahkan dengan perlawan seperti Piala Presiden bawah 21. Antara rakan sepasukan saya yang masih bermain sekarang ini adalah, contohnya Shahrul Kalam, Abdul Ghani Rahman (PKNS), senior saya Safee Sali, Farizal Marlias (JDT) junior saya, dan sebenarnya ramai lagi kalau hendak saya sebut di sini.Selepas tamat dengan Bukit Jalil pada tahun 2002, saya dipilih untuk mewakili Selangor bagi pasukan Piala Belia bawah 19 tahun. Setahun dengan Selangor sambil saya sambung belajar di Matrikulasi antara Bukit Jalil dengan UPM, kemudian saya sambung ijazah di UPM. Setahun selepas bersama dengan Selangor, saya pergi ke Public Bank, kemudian MBPJ setahun dan berhijrah kembali ke Selangor pada tahun 2007 untuk team Liga Super. Masa itu saya sudah dipanggil untuk pasukan olimpik Malaysia di bawah kendalian B. Satiananthan. Selepas dipanggil untuk skuad bawah 23 Olimpik, saya turut terima tawaran oleh Selangor pada tahun 2007 untuk pasukan senior Liga Super 2007 bersama-sama dengan Shukor Adan, Akmal Rizal, Safee Sali, Safiq Rahim, nama-nama besarlah yang sekarang masih lagi yang aktif. Kemudian, saya berhijrah ke PKNS FC 2008 selama setahun dibawah jurulatih Ismail Ibrahim sebelum menyertai Proton FC 2009, dan 2010 saya sertai Sime Darby FC sehingga 2012 yang di mana saya tamatkan karier saya sebagai pemain. Itulah sedikit sebanyak perjalanan saya dalam bola sepak sebelum bergelar pengadil.Sebenarnya saya mengambil keputusan untuk gantung boot ini kerana saya terima tawaran bekerja dengan Sime Darby. Bila ditawarkan itu, Sime Darby tidak benarkan bermain dan bekerja. Kalau main boleh profesional, kalau hendak bekerja saya kena berhenti daripada bola sepak. Bagi saya, masa itu sudah dapat ijazah di UPM, jadi hati saya banyak berbisik untuk lebih settle down. Saya beritahu diri saya, why not I try. Saya sertai Sime Darby sebagai Eksekutif di Sime Darby Industry di Puchong. Jadi itulah perkara sebenar. Saya tiada kecederaan, tawaran pun masih ada tahun 2013 tetapi saya pilih untuk settle down, itu sahaja. Yang buat saya berhenti tiada sebab lain, yang kata injury, bukan injury, tawaran kerja yang buat saya betul-betul rasa inilah masanya saya boleh gantung boot dengan walaupun gaji permulaan kerja, biasalah, sama seperti apa yang dilalui oleh ramai orang.Itulah kerja pertama saya selepas tamat belajar, sebab itu saya rasa ingin cuba. Masa itu umur saya 28 tahun.Senang ceritanya, pengadil ini asalnya benda yang saya minat sebab dulu masa kita main, saya pun antara pemain yang kerap maki pengadil, suka berbalah dengan keputusan pengadil, kita bukan jenis yang baik jugalah, biasalah mulut-mulut pemain di atas padang semasa perlawanan berlangsung, kena pula perlawanan kritikal. Lebih kurang tahun 2012, satu seminar FAS dianjurkan di pejabat saya untuk ambil ujian bertulis peringkat negeri Selangor. Nak dijadikan kebetulannya, yang in-charge bilik untuk seminar itu member baik saya di pejabat, jadi dia ajak saya cuba, hanya untuk tambah ilmu. Kawan saya player dulu bekas pemain Pahang. Saya kata, “Ish, tak minatlah daripada player nak jadi referee.”. Kemudian dia cakap, “Kita masuk, bayar RM80 kita tambah knowledge, tak nak pakai pun takpa janji kita tahu basic dia macam ni law dia.” Saya bayar RM80 untuk masuk kelas seminggu pada waktu malam daripada pukul 8 sampai pukul 10 tiap-tiap hari seminggu. Sampai hari minggu, ujian bertulis law of the game. Bila masuk, ramai pula di FAS kenal sebab dulu majikan kita, ramai kenal kita, hingga ada yang tanya, betul ke nak buat referee? Sebenarnya saya cakap jujur, sebetul-betulnya saya hanya mahu tambah knowledge pada awalnya, rasanya tak berminat pun nak buat betul-betul. Saya ambil ujian, lepas di peringkat Selangor. Setahun kemudian mereka bagi saya perlawanan peringkat Negeri Selangor. Saya kata tak mahu sebab saya tiada kelengkapan seperti wisel, kad dan sebagainya. Saya tak beli pun sebab bukan jiwa saya jadi pengadil pada masa itu. Setahun saya tak aktif, setahun kemudian saya berjumpa dengan cikgu Sabri Mad Daud. Kebetulan beliau in-charge bahagian kecergasan di peringkat Selangor bersama-sama cikgu Silaragen. Kami jumpa dan saya masih ingat perbualan kami masa itu, “Lan, abang dengar Lan dah lama”, saya kata “Ye bang”. Dia kata “Beginilah Lan, cuba Lan bagi tempoh setahun, komit betul-betul, cuba tengok boleh pergi ke tak boleh pergi”. Saya cakap, “Tak bolehlah cikgu”. Kemudian beliau pujuk lagi, “Cuba setahun lepas tu cikgu tak akan paksa lagi, Lan nak buat Lan tak nak buat, decide, tapi setahun ni cubalah buat”. Saya akhirnya terima cabaran cikgu untuk setahun dan saya cuba buat peringkat negeri Selangor dulu buat setahun.Sebagai bekas pemain, kami dapat skip satu tahun aktif itu dan setahun kemudian sudah boleh ambil ujian peringkat kebangsaan.Selangor sahaja yang menamakan saya di dalam ujian kebangsaan yang kemudiannya saya hadiri, dan lulus. Bila lulus, kena lari fitness untuk kebangsaan. Kita pun lari dan lulus lagi. Ini adalah tahun ke 5 saya, 2014, 2015, 2016, 2017, 2018, 2019. Tahun 2014 saya terus dapat satu perlawanan yang FAM suruh saya adili.Saya ingat lagi first game saya sebagai center di Tampin, Negeri Sembilan, Piala Belia. Saya ingat lagi pengadil Ustaz Khan dari Negeri Sembilan apabila tamat perlawanan, dia pernah tanya saya, “Berapa lama awak referee?”. Saya cakap 3 tahun, saya dapat batch kebangsaan 3 bulan. “Tak mungkin 3 bulan boleh buat macam ni, awak dulu siapa-siapa ke, main bola ke?” katanya. Baru saya jawab yang saya memang bekas pemain. Kemudian beliau beri reaksi positif tentang persembahan saya yang cepat adapt. Selepas itu daripada Belia, terus saya buat Piala Presiden. Tahun yang sama saya terus ke FAM Cup 4 perlawanan yang saya ingat. Tahun seterusnya, selepas FAM, saya terus dapat ke Liga Perdana. Kalau ikut sebetulnya perjalanan saya di Pengadil Kebangsaan ini, 4 tahun sahaja sebelum jadi FIFA Official, tahun 2018. Antara perlawanan terbesar yang saya pernah adili di sebagai FIFA Official, AFC Champions League, Kejohanan AFF adalah yang paling tinggi di Asia. Untuk dalam Malaysia pula, pada tahun 2013 saya mengadili Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2017.Ramai pemain yang bermain di liga sekarang, lebih kurang junior-junior saya atau pun senior-senior saya semasa di Bukit Jalil. Memang banyak pengalaman yang paling tidak dapat saya lupakan bersama ramai daripada mereka.Yang paling tidak dapat saya lupakan dalam bola sepak, peringkat paling tinggilah kenangan paling manis. Bagi saya adalah semasa bersama skuad Olimpik. Macam-macam kejohanan kami pergi untuk Olimpik. Saya pun tak sangka sampai ke peringkat itu kerana dulu semasa bermain, matlamat saya sebenarnya bila dah jadi pemain profesional, mestilah untuk bermain dengan pasukan paling tinggi di tahap Liga Super, walaupun kita tidak menang Cup tetapi peringkat paling tinggi adalah Liga Super. Bila pergi ke Liga Super kita akan aim pula skuad kebangsaan. Sebenarnya apa yang saya impikan itu sebenarnya banyak yang sudah saya capai. Jadi semasa saya bersara itu saya rasa cukup. Saya rasa dah cukup tetapi saya tak sangka pula akan kembali ke padang sebagai pengadil. Inilah namanya rezeki.Namun begitu, tidak semuanya indah dalam perjalanan ini. Semasa bermain dulu, saya pernah lalui keadaan bila tidak dapat tawaran. Ada setengah satu tahun, sebelum saya diterima PKNS. Sebelum saya pergi PKNS, daripada Selangor ke PKNS, sebab kita habis kontrak dengan Selangor kita di tahap Liga Super. PKNS Liga Perdana. Kemudian, selepas sertai PKNS, tidak dapat tempat dalam kesebelasan utama walaupun kita rasa kita tengah top form. Sepanjang musim itu mungkin 2 atau 3 kali sahaja saya main. Memang itu kenangan yang mana-mana pemain down. Susah untuk terima perasaan, “Aku dari team Liga Super tetapi dekat sini duduk di bangku simpanan.” Bila jadi pengadil, cabaran lain pula. Emosi sendiri kadang susah boleh terima. Dulu kita maki pengadil tetapi bila kita dimaki memang susah untuk terima. Kita hanya mampu tunjuk dengan reaksi, bukan diraut muka kita sebab kalau camera fokus kita nanti orang ingat kita main dengan emosi. Sebagai pengadil, ada masanya saya rasa dalam hati membara bila pemain maki, import pula **** kan kita. Ya, memang boleh faham itu budaya tetapi kadang-kadang, saya pun hanya manusia biasa, dalam hati ada terdetik, “Oh kau maki aku macam tu sekali, kau tunggu kejap lagi”. Benda sebegini antara perkara yang paling susah untuk dikawal, masa awal-awal memang susah. Bila pemain hentam kita, dalam hati saya “oh ok kau tunggu kejap lagi”. Ada perasaan macam itu sebenarnya sudah tidak adil. Pemain boleh cakap sesuka hati, pengadil tidak boleh tunjuk muka. Itu memang cabaran. Kadang saya balik ke rumah, hati pun bengkak, kawan sama kawan pun di atas padang pun ada yang cakap sesuka hati, maki hamun pengadil.Awal-awal memang susah kawal tetapi bila saya sudah berada di satu tahap, saya sudah boleh kawal perkara-perkara sebegini. Hingga sekarang saya jadi senang hati apabila saya sudah mampu untuk adapt. Semasa saya adili separuh akhir Piala FA 2017, memang mencabar. Masa itu, penolong pengadil adalah Encik Subkhiddin, nama besar dalam bidang pengadilan. Di hati saya tidak tahu apa yang hendak diucap. Kadang rasa yakin, kadang rasa segan sebab beliau sememangnya mempunyai nama besar. Namun saya ingat satu ayat yang dia ucapkan, yang terus menjadi motivasi saya sehingga hari ini, “Saya tak kisah awak baru, awak lama, saya tak kisah. Do your game, do your job, saya tak kacau awak. Sekarang ni you’re king, you decide macam mana nak manage.” Habis wisel penamat, saya pandang grand stand tempat beliau duduk, beliau pandang saya dan berikan tepukan. Indah tak indah tetapi itu adalah antara memori yang sentiasa terpahat di hati saya. Razlan JoffriBekas Pemain Selangor, Pengadil FIFA, Seorang Bapa, Anak Terengganu Berjiwa Selangor. Baca Wajah Bola Selangor sebelum ini:
Wajah Bola Selangor: Khairulanwar Md Isa