SELANGOR FC
NEWS AND UPDATES

Wajah Bola Selangor: Anuar Razak


Nama saya Anuar bin Abdul Razak, berumur 61 tahun, nama pentas saya Anuar Razak. Saya berasal dari Selangor dan kalau lebih tepat, Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang (KRU).

Membesar dalam keluarga yang mempunyai 10 orang adik beradik, semua daripada kami pandai main muzik tetapi saya seorang sahaja yang agak gila sikit, pilih untuk bermain muzik 100% sebagai kerjaya.

Saya mula bersekolah di Simpang 5 Klang. Semasa di bangku sekolah, saya tidaklah bermain muzik secara serius tetapi saya minat. Sekitar umur 9-10 tahun, kerap saya ikut ayah saya buat persembahan di majlis perkahwinan. Ayah juga seorang ahli muzik masa itu.

Jadi apabila saya masuk sahaja darjah 6, saya sudah mula boleh bermain, saya main bass. Saya mula belajar main instrument, tengok orang main, belajar daripada kawan-kawan dan abang-abang saya yang semuanya ada band sendiri.

First instrument saya adalah bass gitar. Dulu kalau hendak main, instrument kena sewa. Dalam rumah saya pada masa itu, kita ada 3 fasa umur. Arwah ayah main keroncong di atas rumah, dalam stor kereta abang saya yang muda main pop yeh yeh dan yang hujung itu ada band pop rock, abang saya dan saya. Sampai 3 band, 3 generasi. Hingga kadang kali, orang kampung semua datang tengok stor tu macam konsert pula.

Saya mula belajar muzik secara serius di sebuah institusi sebelum saya drop-out. Namun itu tidak menjadi penghalang untuk saya teruskan berkarya. Saya teruskan perjalanan muzik saya dengan menyertai sebuah band yang dikenali sebagai Revolvers, bersama Datuk Freddie Fernandez, Charles Peters.

Revolvers adalah sebuah band yang berasal dari Klang and kami banyak membuat persembahan di sekitar KL dan Selangor untuk majlis-majlis sekiranya ada jemputan.

Lagu hit kami yang pertama pada masa itu ialah ‘Perpisahan’. Lagu ‘Perpisahan’ itu dinyanyikan oleh KRU dan di olah balik dengan lagu ‘Terasing’ dengan ‘Perpisahan’. Kalau pembaca tak tahu, Revolvers kami main dan cipta lagu-lagu seperti Queen, Bohemian Rhapsody, Chicago. Mereka inilah dan lagu-lagu inilah yang banyak menjadi inspirasi buat kami.

Masa itu saya belum buka lagi studio. Bila sampai masa hendak berkahwin, saya terpaksa buka studio untuk mencari satu sumber rezeki yang lebih konsisten. Jadi, the best job yang saya tahu masa itu adalah main muzik, buat composition dan production. Ada juga band yang tawarkan saya untuk buat recording, syarikat minta buat siaran iklan kecil-kecilan, dari situlah lahirnya,  Nada Studio Sdn Bhd di Kelana Jaya.

Saya berhenti main muzik, dan berikan tumpuan sepenuhnya kepada lagu-lagu iklan dan hingga hari ini saya boleh cakap yang saya dah buat hampir seribu satu macam lagu iklan atau jingles sampai saya digelar ‘Raja Jingle’. Dari Nada Studio, di situlah bermulanya berbagai-bagai kerja yang saya dapat seperti lagu-lagu iklan dan lagu-lagu rakyat.

Jingles yang saya pernah buat dan ramai orang ingat sampai sekarang antaranya adalah Adabi, Axion, bukan sahaja saya buat lagu itu, saya juga berlakon dalam video itu.

Bagi saya, jingles ini mungkin ramai ingat satu perkara yang mudah, simple. Tetapi sebenarnya, ia melibatkan dan memerlukan kreativiti yang paling tinggi sekali.

Cuba bayangkan, untuk 30 saat, kamu perlu ada intro, outro, dan korus. Pembikinan jingles ini bagi saya, mampu membuatkan seseorang itu berfikir dengan lebih tajam dan kritis. Tetapi lebih daripada itu, saya bukanlah hanya serius fokus kepada jingles sahaja sepanjang saya berkarya. Saya buat album, saya buat studio untuk Senario masa dulu dan macam-macam lagi.

Dalam perjalanan itu jugalah, lagu Merah Kuning, antara karya teragung saya lahir. Lagu yang saya cipta sekitar awal 90an. Saya tak berapa ingat tahun 1990 atau 1991.

Apa yang saya masih ingat adalah ketika saya dipanggil oleh kerajaan, Menteri Besar Tan Sri Muhammad b. Muhammad Taib ke rumah dia. Ramai sangat orang yang ada dalam bilik itu pada masa itu dan kemudian dalam sibuk saya perhati semua yang ada di situ, sedar tak sedar, saya duduk depan Tan Sri. Beliaulah yang beritahu saya, brief saya tentang lagu ini dan sebagainya.

Semasa beliau brief, saya sudah mula dapat melodi untuk lagu Merah Kuning. Melodi itu masuk terus ke dalam benak fikiran saya hingga saya sudah tak dengar apa lagi yang beliau cakap, saya sudah tidak dapat tumpukan perhatian kepada Tan Sri, tetapi yang saya pasti, saya tahu apa yang beliau mahukan.

Sebab itu jugalah orang panggil saya ‘Raja Jingle’. “Kau brief je aku, aku dah dapat lah” kononnya lah. Jadi daripada situ, saya balik, saya mula cipta 2 atau 3 jenis tetapi masa itu saya tak kongsi lagi dengan Tan Sri. Dalam hati saya, saya hanya hendak bagi yang terbaik.

Saya draft lirik, saya susun muzik dan senikata, saya design kesemuanya dan akhirnya saya record. Versi pertama lagu itu masuk dalam recording studio, saya nyanyi dan saya present kepada Tan Sri versi terakhir. Alhamdulillah, sekali present lagu itu terus diterima kekal hingga hari ini.

Saya percaya sekarang semua tahu lagu Merah Kuning itu macam mana. Lagu yang hampir 30 tahun berkumandang. Sekarang ramai tanya siapa komposernya, siapa dia, mana mamat ni, hidup lagi atau tidak. Saya ada.

Ramai yang beritahu, buat sesuatu pada muzik itu masa zaman dulu tetapi melodinya, ini bukan saya yang quote, ramai orang cakap “ini lagu berhantu”.

Lagu ini lebih kepada semangat kerakyatan, patriotik. Saya sengaja buat begini kerana melodi dan bentuk lagu sebegini mampu hit seseorang itu dan beri inspirasi. Kalau orang suruh saya buat lagu ballad, slow rock ke pop rock ke saya tak boleh dan memang saya tak buat.

Dulu saya buat lagu bukan Merah Kuning sahaja, ada juga lagu Selangor Menang. Agaknya lagu itu sudah tidak dimainkan lagi sebab senikatanya yang agak sensitif. Ia lebih sebagai bahan kepada pasukan yang kalah dengan Selangor.

Bola sepak itu adalah satu landasan untuk anak muda kita atau beri masyarakat satu inspirasi untuk memajukan diri dalam segala apa sahaja. Bukan main bola sahaja nak menang, dalam semua segi. Lagu ini saya cipta untuk beri inspirasi, bukan untuk satu tujuan sahaja, ianya menyeluruh.

Irama, senikata dan melodi lagu Merah Kuning sepatutnya mampu buat kamu menangis, senyum, bersemangat dan kawal mentaliti. Saya punya fokus sebenar untuk Merah Kuning ini bukan hanya untuk itu, tetapi untuk naluri, rohani, jasmani dan semua.

Saya ini ahli muzik dan juga komposer. Jadi sampai bila-bila pun, naik turun saya, saya akan tetap begini. Masih belum ada perasaan untuk tukar profesion kepada kontraktor buat jambatan ke buat jalan ke, saya masih komposer dan ahli muzik. Alhamdulillah masih ada lagi yang perlukan khidmat saya untuk buat lagu.

Bagi saya, buat melodi ini tidak kira muda atau tua. When it comes, it comes. Seperti David Forster yang composed lagu Chicago, cara dia tulis lagu itu, hingga mampu buat kita rasa, dia mesti ada di tahap tertentu. The right time, the right moment to pick up the melody.

Apa yang saya ada hari ini, kelebihan untuk berkarya, mencipta lagu rakyat, bukanlah kekuasaan saya tapi Dia yang beri pada saya.

Saya masih seorang budak yang sama, yang gemar pegang raket badminton ketika berada di bawah rumah menganggap itu gitar saya.

Selalunya lagu-lagu yang saya tulis, saya mahu ianya mampu mengubah hidup seseorang itu. Ramai komposer hari ini saya lihat, hanya tekan satu butang, dan keluar melodi. Kamu tak boleh begitu. Muzik, perlu dicipta dengan matlamat dan tujuan. Melodi yang dilahirkan dan dizahirkan, perlu memberi impak kepada pendengar.

Bagi saya, wang bukanlah matlamat dalam berkarya. Sekiranya lagu yang dicipta ada tujuan, ianya mampu kekal sepanjang zaman. Lihat dulu, orang sebelum pergi berperang, mereka akan nyanyi dahulu.

Satu hari nanti, saya pasti perlu tinggalkan dunia ini. Saya tak suka orang tahu siapa saya dan tak mahu orang kenal saya. Tetapi saya harap, mereka akan ingat lagu saya sebagai satu sumbangan kepada masyarakat dan buat Selangor, pasukan ini.


 

Anuar Razak

Pencipta Lagu Merah Kuning, Ikon Negara 2017, Raja Jingles.

 

Baca kisah sebelum ini di sini: https://redgiants.faselangor.my/wajah-bola-selangor-razlanjoffri/