Oct 10, 2019 - FAS
Nama saya Othman bin Saad. Saya merupakan seorang bekas masseuse dan juga kitman yang telah bersama dengan pasukan Selangor selama 27 tahun, sejak dari tahun 1991 sehingga umur saya 68 tahun.
Dalam kehidupan saya ini, saya dikurniakan dengan 4 orang anak dan 5 cucu. Kini saya tinggal seorang di rumah selepas isteri saya meninggal 2 tahun yang lalu. Umur saya sudah mencecah 69 tahun.
Dulu saya selalu bawa anak-anak saya pergi stadium tengok bola. Saya sanggup habis wang ringgit dan sanggup ambil cuti sebab nak tengok bola.
Kalau hendak diikutkan, saya sebenarnya berasal dari Perak, tetapi jiwa saya, jiwa Selangor, nombor kad pengenalan saya pun 10.
Dari zaman kanak-kanak lagi saya meminati bola sepak. Saya pernah bermain bola sepak semasa zaman persekolahan di Kampung Gajah, Perak.
Saya berasal dari keluarga yang susah. Saya mempunyai 4 adik beradik, 2 lelaki 2 perempuan dan saya merupakan anak ke-3. Bapa saya meninggal dunia semasa saya berumur 12 tahun. Semenjak ketiadaan beliau, saya terpaksa bekerja untuk bantu tampung keluarga.
Selepas tamat waktu persekolahan, saya akan terus pergi bekerja di kedai mamak. Cuci pinggan mangkuk adalah punca pendapatan saya masa itu. Semasa cuti sekolah pun saya akan bekerja. Bayaran gaji saya sebulan adalah RM15, zaman dahulu jumlah itu sangat besar dan cukup untuk tampung keluarga. Jika rezeki saya banyak, majikan saya akan bagi RM500 dan dengan duit itu lah saya gunakan untuk tampung keluarga dalam bulan puasa.
Tamat zaman persekolahan, saya merantau dan bekerja sebagai pemandu lori di Telekom. Dalam masa yang sama, saya dapat buat kerja sambilan dengan pasukan Negeri Sembilan pada masa itu melalui kawan-kawan.
Sekarang sudah sebulan saya duduk rumah sahaja. Jika dalam bulan Februari kalau ada yang panggil saya untuk bekerja sebagai tukang urut, saya akan pergi. Saya masih boleh kerja walaupun dah tua. Sebagai seseorang yang sudah biasa bekerja, bila duduk rumah tidak bekerja mulalah rasa bosan.
Sebelum bersama dengan pasukan Selangor, saya bekerja sambilan sebagai tukang urut pasukan Negeri Sembilan. Selepas habis training pasukan Negeri Sembilan, saya pergi tengok pasukan Selangor training di Kelana Jaya.
Saya masih ingat bagaimana pertama sekali sebelum saya mula bersama dengan skuad Gergasi Merah. Pada suatu hari, sedang saya menonton latihan pasukan Selangor, Dato Nordin tanya kepada saya, “Apa tukang urut Negeri 9 buat dekat sini?”,
Saya pun jawablah “Saja tengok, sebab tak ada peluang untuk berkhidmat untuk pasukan Selangor. Kalau ada peluang boleh juga, tak perlu saya kerja jauh-jauh”,
“Betul kau nak kerja? Kalau betul nak kerja, buat part time dulu, aku nak tengok kau punya kerja.” kata Dato Nordin.
Bermula dari situlah, saya berhenti berkhidmat untuk pasukan Negeri Sembilan dan terus masuk Selangor.
Saya selalunya urut ikut cara keturunan turun termurun tetapi urutan tradisional tidak sesuai untuk sukan, kalau mat saleh kita urut dengan cara tradisional, mereka tidak suka. Jadinya saya dihantar ke kursus urutan sukan dan saya belajar dari situ cara urutan yang sesuai untuk pemain sebelum dan selepas perlawanan.
Saya tidak ada pengaruh tertentu yang saya jadikan contoh tetapi saya sentiasa ingat pesan-pesan pengurus sebelum ini. Dia kata “Man, kalau kau dapat kerja dan tanggungjawab kau buat kerja, kau kena amanah.”
Kadang-kadang pemain ni nak air, saya akan belikan tanpa minta duit mereka. Semasa hari perlawanan saya perlu sediakan semua termasuklah pisang & 100 Plus untuk setiap seorang. Dulu kita tak ada penaja macam sekarang, semua kena beli dan sediakan sendiri.
Jika ada pemain yang nak kecilkan baju, saya akan kecilkan untuk mereka. Mereka sangat manja dengan saya. Apabila mereka sudah dapat gaji, mereka akan bayar kesemua yang saya tolong mereka tanpa perlu minta. Duit boleh cari tetapi bagi saya pasukan bola ini saya sudah anggap macam keluarga. Bak kata Mehmed “You win today, 1 family”.
Kerja saya, urut pemain. Selepas mereka selesai makan malam, jam 9 malam saya akan panggil 4 orang untuk sesi urut bahagian malam. Keesokkan harinya, pagi saya akan panggil lagi 4 orang. Kemudian selepas hi-tea, saya akan panggil lagi 3, jadi siaplah 11 pemain utama.
Pemain lain, ada masa free petang-petang saya akan urut jika mereka mahu. Urutan ini bukan nak bagi badan sedap ke apa tetapi adalah bagi mengelak kekejangan otot semasa perlawanan. Sepanjang saya jaga pasukan Selangor, Alhamdulillah tidak ada lagi pemain yang kejang semasa dalam permainan.
Saya juga dapat rasa kemanisan bekerja di luar negara semasa bersama Selangor. Saya berpeluang pergi ke Los Angeles sebagai hadiah kejuaraan sebelum ini. Saya berpeluang pergi ke Mexico City. Semasa pramusim pula kami akan pergi ke London dan Dubai. Sambil dapat peluang merantau ke negara orang ini, saya pernah dapat pengalaman duduk sebelah juruterbang dan lihat bagaimana dia kendalikan kapal terbang itu sendiri.
Dari tahun 1991 sampai 2005, Abang Man seorang yang kerja, kitman pun abang, tukang urut pun abang. Pada tahun 2005 abang Man sakit jantung, masuk Hospital, lepas itu pengurusan bantu cari penolong untuk abang Man, kalau tidak abang Man seorang.
Sepanjang 27 tahun, semua pemain yang saya pernah jaga saya dah anggap macam anak-anak. Mungkin sebab itulah pemain-pemain banyak ceritakan rahsia mereka kepada saya dan selesa dengan saya.
Saya sempat urut Mokhtar Dahari sebelum beliau meninggal dunia pada tahun 1991. Saya sempat berkenalan dengan dia, seorang yang sangat rajin berlatih seperti yang orang lain perkatakan.
Antara pemain Selangor yang saya masih rapat sampai sekarang adalah Amri Yahyah dan Anuar. Dengan mereka ini, saya ada buat lawak, marah, maki dan macam-macam lagi. Walaupun saya ada marah mereka kerana muda-muda sakit sikit nak urut tetapi saya marah macam mana pun saya akan tetap urut mereka. Mungkin sebab itu pemain mesra dan rapat dengan saya. Dalam dressing room pemain banyak cerita matlamat sebenar mereka, contohnya, “Kita nak menang malam ni untuk siapa?”
Kalau tanyakan pemain-pemain import, semua masih mengenali saya terutamanya Bambang Pamungkas. Setiap kali ada perlawanan di Indonesia, orang pertama yang cari saya adalah Bambang.
Ramai pemain Selangor yang bukan saja bagus di atas padang, tetapi di luar padang. Dalam satu musim, apabila berjaya menjadi champion, setiap seorang daripada mereka akan beri saya RM150 sebagai tanda terima kasih.
Kenangan yang paling manis bagi saya adalah pada tahun 1995, 1996, 1997, 1998 dan 2005. Pada masa itu, Dollah Salleh telah membawa 3 piala untuk pasukan Selangor. Pada masa itu, musuh ketat kita dalam liga adalah KL dan Singapura.
Dollah Salleh memang jurulatih tempatan favourite saya kerana dia tak suka pressure. Dia akan keluarkan 20 biji bola, dan pemain bebas untuk berlatih , dapatkan persefahaman, lakukan drill tertentu dan pada 20 minit sebelum tamat latihan Dollah Salleh akan ajar taktikal.
Untuk jurulatih import pula saya minat dengan Mehmet Durakovic. Dia merupakan bekas pemain Selangor pada 1995 sehingga 1998. Jadinya, dia sudah tahu dan masak dengan corak permainan Selangor. Sehari sebelum perlawanan, beliau akan rehatkan kesebelasan utama untuk urut, rendam air sejuk atau panas.
Pemain lain akan bermain seperti biasa dan Mehmet akan ajar free kick dan corner sebelum perlawanan. Dia tidak pressure pemain kerana katanya mereka sudah ada asas bermain bola sepak jadi tak perlu diajar skill basic, dia ajar tactical sahaja.
Pesanan saya untuk pasukan Selangor pada musim 2019 ini satu sahaja, “Jangan pandang ringan. Walaupun saya tidak ada dalam pasukan tetapi saya akan sokong 100%. Percaya kepada penyokong-penyokong. Kita dalam pasukan ini perlulah berkorban, pegawai dan pemain semua ada tanggungjawab tersendiri, jadi jangan hanya fikir diri sendiri, apa yang kita lakukan, sentiasa ingat orang di sekeliling kita, para penyokong.”
Othman Saad
Lagenda Selangor, Bekas Kitman & Juruurut Pasukan Selangor selama 27 tahun, Peminat Bola Sepak, Seorang Ayah, Abang dan Seorang Sahabat.