SELANGOR FC
NEWS AND UPDATES

Selangor bangkit tewaskan Melaka di saat akhir


PAYA RUMPUT - Skuad Red Giants berjaya melakar kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Super 2019 selepas berjaya menundukkan Melaka FA dengan keputusan 4-3 di Stadium Hang Jebat.

Dua jaringan Sean Selvaraj pada minit-minit akhir perlawanan berjaya memberikan kemenangan mutlak untuk Selangor.

Selangor yang diketuai Amri Yahyah memulakan permainan dengan melancarkan serang bertubi-tubi ke arah kubu pasukan Melaka.

Pada minit ke-8, Amri Yahyah berjaya menjaringkan gol pertama selepas melakukan satu percubaan cantik diluar kotak penalti dan menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Melaka yang tersentak dengan jaringan tersebut menggandakan serangan dan berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-20.

Namun jaringan penyamaan itu tidak bertahan lama. Amri kembali meletakkan Selangor dihadapan selepas bijak menolak masuk hantaran Syazwan Zainon lima minit kemudian.

Melaka sekali lagi memperoleh peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-45 namun Azreen menafikan jaringan tersebut selepas berjaya menyelamatkan bola sebelum ia sempat melepasi garisan gol.

Masuk babak kedua Melaka meneruskan serangan bertubi-tubi ke gawang gol Selangor dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-54.

Minit ke-71, Melaka berjaya berada dihadapan selepas Darko Markovic berjaya menyudahkan hantaran rakan sepasukannya.

Selangor tidak berputus asa dan terus melakukan gerakan untuk mencari jaringan penyamaan dan Sean Selavaraj yang dibawa masuk pada separuh masa kedua berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-88.

Jaringan kemenangan Selangor hadir tidak lama kemudian selepas Sean Selavaraj sekali lagi menanduk masuk hasil sepakan percuma Fandi Othman pada masa tambahan sekaligus menjadikan keputusan 3-4.

Kemenangan ini menyaksikan Selangor berjaya meraih tiga kemenangan liga berturut-turut dan kemenangan keempat berturut-turut dalam kesemua pertandingan.

Selangor kini berada di tangga keempat Liga Super dengan mengumpul 12 mata. Semoga pasukan Selangor dapat mengekalkan momentum kemenangan dalam perlawanan akan datang.

Untuk gambar-gambar perlawanan semalam, tekan sini.