SELANGOR FC
NEWS AND UPDATES

Kenali Pemain Selangor: Sharul Nazeem


Untuk edisi kali ini, FA Selangor membawakan kepada anda kisah Sharul Nazeem bin Zulpakar atau lebih mesra disapa dengan panggilan Afro.

Menyarung jersi nombor 4, Sharul bermain posisi pertahanan tengah dan menjadikan Shahrul Saad sebagai idolanya. Untuk rekod, Shahrul Saad antara pemain pertahanan terbaik Liga Super 2018.

Bagi pemain luar negara pula, Sharul menjadikan pemain pertahanan tengah Chelsea iaitu David Luiz sebagai idola kerana kekebalan beliau selain mempunyai persamaan melalui fesyen rambut mereka.

Bagi Sharul, kedua-dua idola beliau mempunyai teknik pertahanan yang sangat baik dan mereka bijak membaca gerakan pihak lawan.

Berumur 20 tahun, Sharul memulakan karier bola sepaknya sejak umur 17 tahun lagi. Namun ianya tidak bermula dengan baik kerana pada awalnya Sharul tidak mendapat sokongan daripada keluarganya.

“Pada awalnya, keluarga saya tidak menyokong untuk bermain bola namun saya teruskan bermain dengan sokongan rakan-rakan. Setelah itu, barulah keluarga membenarkan saya untuk bermain dan memberikan sokongan kepada saya sehingga kini," ujar Sharul.

Pada tahun 2017, beliau menyertai pasukan Cheras dalam Liga Bola Sepak Rakyat (LBR). Setahun kemudian, Sharul menyertai Liga Kuala Lumpur bersama skuad Marcerra United.

Kemudian, pemain muda ini meneruskan karier bola sepaknya dengan menyertai Liga Selangor anjuran FA Selangor bersama pasukan NPNG FC.

Bersama NPNG FC, Sharul telah merangkul dua kejuaraan iaitu Liga Selangor dan juga Piala FA Selangor.

Dengan bakat yang dimiliki Sharul, beliau diserap masuk skuad Presiden Selangor selepas persembahan yang baik ditunjukkan semasa bermain dalam saingan Liga Selangor.

Bagi musim 2019, Sharul merupakan antara pemain utama skuad Presiden Selangor. Beliau telah bermain sebanyak 10 perlawanan dan menjaringkan 2 gol setakat ini untuk musim 2019.

Pemain pertahanan ini berhasrat membantu skuad Presiden Selangor untuk memenangi Piala Presiden musim ini dengan bakat yang dimilikinya.

Bila ditanyakan harapan beliau, Sharul bertekad untuk bekerja keras bagi memastikan beliau mendapat tempat di dalam skuad Harimau Malaya dan beliau juga bercita-cita untuk melebarkan sayapnya untuk bermain di luar negara.

Kami dari FA Selangor mendoakan agar Sharul terus cemerlang membantu skuad Presiden Selangor mencipta kejayaan dan melakarkan sejarah baru pada musim ini dan juga pada masa akan datang.

Semoga berjaya Sharul! Demi Selangor.