SELANGOR FC
NEWS AND UPDATES

Permulaan baik bagi Selangor MAC dalam dua perlawanan awal MPFL


SHAH ALAM- Skuad futsal Selangor MAC bagi aksi sulung mereka dalam saingan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) 2019 selepas berjaya mencatat kemenangan besar ke atas Perak dan juga Melaka.

Perlawanan pertama MPFL menyaksikan Selangor MAC bertemu dengan seteru utama mereka iaitu pasukan Perak yang berakhir dengan keputusan 5-0.

Fariq Mohammad dan juga Azrul Hadee menjadi watak utama dalam kemenangan besar ini apabila Fariq berjaya menjaringkan empat gol.

Manakala Azrul Hadee yang merupakan pemain kebangsaan begitu kebal menjaga gawang gol Selangor dengan hampir sepuluh percubaan tepat ke arah gol berjaya beliau nafikan.

Selain itu, Ridhwan Zainal juga mencatat nama selaku penjaring dalam perlawanan tersebut.

Melaka pula lawan kedua Selangor Mac dan satu lagi aksi cemerlang berjaya ditampilkan pemain Red Giants dengan keputusan 3-1 berjaya dilakar.

Dalam perlawanan ini, Syed Aizad Daniel, Azri Rahman serta Shamsul Akmar berjaya mencatat nama selaku penjaring.

Meskipun gagal untuk mengekalkan rekod tanpa bolos, namun Azrul Hadee tetap mempamerkan aksi yang terbaik untuk menghalang kebangkitan Melaka.

Perlawanan ketiga bagi bulan Jun ini menentang Pahang telah dipinda ke tarikh lain (akan dimaklum dalam masa terdekat) bagi menghormati 40 hari kemangkatan Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Keputusan dua perlawanan ini juga menyaksikan Selangor kini berada di tangga teratas dengan enam mata berjaya dikutip dan lapan gol berjaya dijaringkan.

Untuk bulan Julai, sebanyak empat perlawanan akan diharung oleh Selangor MAC.

Pertamanya mereka akan bertandang ke utara tanah air pada 6 Julai bagi menentang pasukan Pulau Pinang.

Seterusnya, Selangor kembali bermain di Kompleks Sukan Panasonic pada 13 Julai bagi melayan kunjungan pasukan Kuala Lumpur.

KL City pula dijadualkan untuk bertemu Selangor selepas Kuala Lumpur pada 17 Julai di Shah Alam.

Lawan terakhir Selangor MAC untuk bulan Julai adalah pasukan Terengganu pada 20 Julai di Kuala Terengganu.

Semoga Selangor MAC akan mempamerkan aksi cemerlang mereka secara berterusan sekaligus menjadi juara sulung MPFL.