The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
NEWS AND UPDATES

KENALI PEMAIN SELANGOR: FARIS KAMARDIN


Muhammad Faris bin Kamardin merupakan seorang pemain penyerang bagi skuad Belia Selangor.

Anak jati kelahiran negeri Darul Ehsan ini telah memulakan karier bola sepak seawal usia 10 tahun.

Lebih mesra dengan panggilan “Kecik” oleh rakan sepasukannya, Faris telah mewakili daerah Kuala Selangor sejak darjah empat.

Beliau mulai bermain secara serius ketika berusia 12 tahun selepas beliau tidak tersenarai dalam permilihan MSSM.

Faris menganggap kegagalan itu sebagai pembakar semangat sekaligus membuatkan beliau untuk tidak berputus asa dan terus berusaha.

Pada tahun lalu, kerja keras tersebut nyata membuahkan hasil apabila beliau dipanggil untuk mewakili Sekolah Sukan Malaysia Tunku Mahkota Ismail bagi Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA).

Setahun kemudian, karier Faris terus cemerlang apabila nama beliau tersenarai dalam 22 pemain muda yang dipanggil mewakili Malaysia dalam kejohanan bola sepak remaja antarabangsa, Piala Sanix 2019 di Fukuoka, Jepun.

Terbaru, Faris turut mewakili Malaysia dalam kejohanan AFF B-18 di Vietnam yang muncul sebagai naib juara baru-baru ini.

Faris sangat gembira apabila ditanya tentang perasaan beliau dipanggil Ketua Jurulatih B. Satiananthan.

"Saya tidak percaya dapat berkomunikasi secara dekat dengan pasukan utama. Semua pemain senior jaga saya semasa latihan. Tambah lagi saya muda, perlu berjaga-jaga daripada sebarang kecederaan.”

“Berkat doa, dorongan dan nasihat daripada ibu dan bapa, hari ini saya berjaya menempah nama dalam kancah bola sepak Malaysia,” tambah Faris.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada semua jurulatih yang pernah mencurahkan ilmu kepada saya,” sambungnya.

Dengan bakat yang dimiliki dan corak permainan individu yang memberangsangkan, Faris akhirnya menyarung jersi Selangor untuk skuad Piala Belia 2019.

Bercakap mengenai peranannya dalam skuad Belia Selangor, beliau berhasrat untuk menaikkan kembali nama Selangor ke peringkat tertinggi seperti suatu masa dahulu.

Pemain yang memakai jersi nombor tiga ini telah membuat 14 penampilan untuk pasukan Red Giants dan berjaya menjaringkan satu gol sepanjang perjalanan beliau membantu skuad Piala Belia Selangor musim ini.

Bertubuh kecil namun berani dan lincah berdepan pihak lawan, Faris menjadikan pemain sayap Johor Darul Ta’zim, Akhyar Rashid sebagai idolanya.

Bagi pemain luar negara pula, Faris meletakkan Jardon Sancho, bintang muda Dortmund menjadi idolanya.

FA Selangor mendoakan agar Faris terus cemerlang membantu skuad Belia Selangor mencipta kejayaan dan melakarkan sejarah baru pada musim ini dan juga pada masa akan datang.

Semoga berjaya Faris. Demi Selangor!