SELANGOR FC
NEWS AND UPDATES

Jambor #IsRed !


Nikola Jambor hari ini diumumkan secara rasmi sebagai pemain tengah terbaru Selangor FC setelah Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) beliau telah diluluskan bagi menyertai Gergasi Merah untuk mengharungi saingan Liga Malaysia bagi musim 2024/2025.

Lebih mesra dengan panggilan Niko, memulakan karier profesional beliau sejak usianya 19 tahun bersama NK Koprivnica, kelab di negara kelahirannya, Croatia.  Sepanjang beraksi di tanah kelahiran, kelab paling banyak Niko beraksi adalah bersama Slaven Belupo Koprivnica dalam 66 perlawanan sepanjang dua musim. Antara pencapaian terbaik beliau bersama kelab tersebut adalah tempat kedua dalam saingan Croatian Cup 2015/16.

Pemain berusia 28 tahun ini telah berkelana di beberapa negara sepanjang karier beliau seperti Belgium, Portugal dan Arab Saudi. Rio Ave FC, kelab di Portugal, merupakan kelab paling banyak beliau beraksi iaitu sebanyak 51 perlawanan dari tahun 2018 hingga 2021. Selain itu, beliau juga berjaya membuat 27 penampilan bersama Hajer FC sepanjang satu musim di Arab Saudi. Pengalaman luas yang beliau miliki dilihat mampu memberi suntikan yang berharga kepada pasukan dalam meneruskan saingan Liga Malaysia dan ACL2 2024/25.

Menurut Niko, beliau tidak fikir panjang untuk ke kem Selangor FC selepas mendengar tawaran tersebut daripada ejennya.

"Saya ada menerima panggilan daripada ejen saya mengenai tawaran yang telah menarik perhatian penuh saya. Rancangan pihak kelab telah disusun dan sejajar dengan objektif serta misi saya, menjadikannya sukar untuk ditolak kerana saya benar-benar teruja untuk bersama keluarga baru ini dan bekerjasama ke arah matlamat yang sama,” ujar beliau.

Menurut Nidzam Jamil, ketua jurulatih Selangor FC, beliau melihat saingan yang tinggi akan hadir di bahagian tengah dengan kehadiran Niko, “Saya pasti Nikola akan memberikan saingan yang tinggi  terutamanya di bahagian tengah dalam pasukan. Saingan ini sedikit sebanyak mampu memberikan kesan positif kepada pasukan dalam menghadapi saingan Liga Malaysia dan ACL Two musim ini."

Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Nikola Jambor. Semoga beliau dapat menambah kekuatan bahagian tengah Gergasi Merah untuk Liga Malaysia musim 2024/2025 dan saingan ACL2. #JamborIsRed

Teruskan ikuti media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim 2024/2025 dan jangan lupa untuk mendapatkan tiket perlawanan kedua Kumpulan H ACL2 diantara Selangor FC menentang Dynamic Herb Cebu (Filipina), Khamis ini di www.tickethotline.com.my.

Demi Kebanggaan!