Persatuan Bola Sepak Selangor atau lebih dikenali sebagai FA Selangor (FAS) (kini dikenali sebagai Selangor FC) adalah sebuah kelab bola sepak profesional yang mewakili negeri Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Digelar sebagai Red Giants, Gergasi Merah atau Merah Kuning, persatuan ini ditubuhkan pada 22 Februari 1936 ketika dua entiti bola sepak; Liga Bola Sepak Persatuan Selangor (SAFL) dan Persatuan Bola Sepak Selangor (SFA) bergabung untuk membentuk sebuah kelab baru.
Lambang persatuan ini diwakili oleh perisai dalam warna merah dan kuning tradisional Selangor. Warna merah melambangkan keberanian sementara yang terakhir mewakili kedaulatan Sultan Selangor. Kedua-dua warna ini juga sangat signifikan pada bendera negeri yang mengikut identiti Selangor. Logo itu kemudian dilengkapkan dengan menampilkan jata negeri di bahagian atasnya.
Sepanjang penubuhannya, pasukan bola sepak Selangor sarat dengan gelaran dan piala, memenangi banyak permainan dan kejohanan di persada bola sepak Malaysia. Jesteru, banyak legenda bola sepak negara yang pernah menyarung Merah Kuning, dengan lambang Selangor di dada mereka.
Ikon legenda dan pemain prolifik kebangsaan seperti Mokhtar Dahari, R. Arumugam, Santokh Singh, Rusdi Suparman, Zainal Abidin Hassan, Mohd Amri Yahyah, Abdul Ghani Minhat, Soh Chin Ann, dan Arthur Koh pernah bermain untuk kelab ini.
Selangor sering kali disebut sebagai pasukan bola sepak paling berjaya di Malaysia kerana mereka telah memenangi Piala Malaysia sebanyak 33 kali, 7 kali gelaran liga, 5 Piala FA, dan menjulang Piala Sumbangsih sebanyak 8 kali.
Pada tahun 2005, untuk pertama kalinya dalam sejarah Red Giants, FA Selangor berjaya memenangi treble di bawah bimbingan Dollah Salleh setelah mereka memenangi Liga Perdana, Piala FA, dan Piala Malaysia dalam satu musim yang sama.
Selangor juga merupakan satu-satunya pasukan dalam sejarah Malaysia yang bermain di pentas final Asian Champion Club Tournament (kini dikenali sebagai AFC Champions League) untuk edisi sulungnya pada tahun 1967- sekaligus membawa nama kelab Malaysia ke peringkat Asia.
Sejak tahun 1985, FA Selangor telah bekerjasama dengan banyak jenama dan entiti perniagaan yang hebat sebagai penaja utama mereka seperti Dunhill, EON. Celcom Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Telekom Malaysia (TM), Menteri Besar Selangor Incorperated (MBI) dan PKNS. Pada masa yang sama, Selangor telah memakai pelbagai jenama kit seperti Admiral, PUMA, Adidas, Lotto, Kappa dan yang terbaru, Joma.
Selama bertahun-tahun, Selangor telah memanggil banyak tempat terkenal sebagai ‘rumah’ mereka seperti Stadium TCPA (1951-1957) dan Stadium Merdeka (1957-1994), sebelum berpindah ke Stadium Shah Alam pada tahun 1995. Sejak Stadium Shah Alam kini sedang dalam proses pengubahsuaian, Selangor berpindah ke Stadium UiTM pada tahun 2020, kemudian ke Stadium MBPJ yang menjadi ‘venue home’ mereka untuk musim 2021.
Pada masa yang sama, pemerkasaan semula FA Selangor pada era moden telah dipelopori oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri pertama Malaysia, dan juga presiden pertama persatuan ini.
Pada tahun 2018, sejarah baru FAS tercipta apabila Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah mengambil alih jawatan pengurusan tertinggi kelab dan memulakan revolusi baru untuk membawa kelab ke tahap yang lebih tinggi, demi mengembalikan kegemilangan dan menjadikan kelab ini lebih lestari.
Dua tahun kemudian, pasukan yang dahulunya dikenali sebagai Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dipisahkan dari entity persatuan bola sepak dan diiktiraf sebagai kelab bola sepak professional yang bebas, Selangor Football Club (SFC) yang mengekalkan hampir keseluruhan logo asalnya.
Kedua-dua persatuan bola sepak dan kelab bola sepak kini mempunyai visi dan misi tersendiri tetapi mempunyai matlamat yang sama untuk meningkatkan tahap bola sepak di negeri Selangor secara keseluruhannya.
Hari ini, pihak persatuan akan memfokuskan kepada pengurusan liga peringkat negeri, pemerkasaan akar umbi, dan latihan pegawai perlawanan, sementara kelab akan menumpukan perhatian pada persaingan dan kesinambungan kelab di peringkat profesional.