SELANGOR FC
BERITA

Kenali Pemain Selangor: Aqil Fadhly

Oct 10, 2019 - FAS
Penjaga gol skuad Presiden Selangor, Muahmmad Aqil Fadhly Mohd Yusop atau lebih mesra dikenali sebagai Aqil merupakan pemain muda yang sering berlatih bersama pasukan utama Selangor pada musim ini.

Berkongsi tentang perjalanan cerita karier bola sepaknya, Aqil berkata, “Mulanya, saya ingin menjadikan bola sepak sebagai hobi sahaja. Selepas saya melihat kehidupan seorang pemain bola sepak, ia boleh jadikan sebagai karier dan boleh membantu keluarga. Sebab itulah, saya memilih untuk bermain bola sepak secara serius.”

“Saya menyertai Akademi MBPJ sejak berumur 4 tahun lagi. Saya juga pernah mewakili daerah Petaling Utama ketika berumur 12 tahun,” terang Aqil ketika berkongsi tentang perjalanan cerita karier bola sepaknya.

“Selepas itu, saya menyertai pemilihan untuk projek bola sepak Kuala Lumpur di Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria dan terpilih untuk diserapkan. Ketika Tingkatan 3, saya terpilih untuk mewakili pasukan Kuala Lumpur bawah 15 tahun untuk kejohanan Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia di Perlis,” ujarnya lagi.

“Ketika berumur 16 tahun, saya dipanggil untuk menyertai pemilihan pasukan Belia Selangor di bawah kendalian jurulatih Zaidi Rohmat dan saya tersenarai untuk diserapkan ke pasukan Belia B,” kata anak bongsu ini.

“Selepas dua minggu latihan, coach Zaidi memanggil saya untuk menyertai pasukan Belia A untuk kejohanan Piala Belia 2016. Pada tahun itu, kami berjaya menjadi naib juara Piala Belia,” tambah Aqil.

“Tahun berikutnya, saya diserap masuk ke skuad Presiden Selangor dan berjaya menjulang kerjuaraan Piala Presiden 2017. Pada tahun 2018 & 2019, saya dikekalkan di pasukan Piala Presiden.”

Biarpun hasrat beliau untuk membawa pasukannya ke peringkat seterusnya tidak berjaya untuk musim ini, anak kelahiran Petaling Jaya ini telah beraksi bersama skuad Presiden Selangor sebanyak 13 perlawanan.

Pemain muda ini menjadikan Mazlan Wahid, bekas penjaga gol Sarawak 1992-2001 yang juga merupakan pemenang “Sarung Tangan Emas’ 1997-1998 sebagai mentornya.

“Saya pernah melihat dia bermain semasa saya kecil dan Mazlan Wahid juga merupakan orang pertama yang mengajar saya asas sebagai penjaga gol suatu ketika dulu,” terang Aqil.

“Rancangan saya pada masa hadapan ialah untuk diserapkan ke dalam pasukan utama Selangor pada tahun hadapan dan dipilih untuk mewakili pasukan kebangsaan bawah 23 tahun. Saya juga memasang impian untuk bermain di luar negara pada suatu hari nanti.”

FA Selangor mendoakan agar Aqil terus cemerlang dalam membantu skuad Belia Selangor mencipta kejayaan dan melakarkan sejarah baru pada masa akan datang.

Semoga berjaya Aqil! Demi Selangor!