Jan 01, 2020 - FASBeberapa hari lalu, kami telah meminta pandangan pengikut media sosial FA Selangor mengenai siapakah yang berhak diletakkan dalam kesebelasan utama untuk musim 2010-2019.
Sempena tahun baru 2020, ini adalah senarai kesebelasan utama dekad lalu berdasarkan undian dan pilihan penyokong Red Giants.
PENJAGA GOL: NORAZLAN RAZALI (2012-2013, 2015-2018)
Melakukan lebih 100 penampilan bersama skuad Gergasi Merah, tidak hairanlah mengapa Wak Lan menjadi penjaga gol pilihan penyokong Selangor. Beliau telah menjadi watak penting sewaktu kejayaan ‘Misi 33’ setelah memastikan Selangor menjulang Piala Malaysia bagi musim 2015.
Ketangkasan beliau dalam menafikan percubaan tepat dari lawan dan sifat kepimpinan semula jadi beliau dalam mengatur barisan pertahanan menjadikan beliau bukan sahaja dihormati oleh rakan sepasukan, malah turut dihormati oleh pihak lawan.
Kini beliau bersama pasukan baru, Melaka United setelah berhijrah keluar pada musim awal musim 2019.
PERTAHANAN KANAN: MOHD RAZMAN ROSLAN (2010-2012, 2016-2018)
Bermain selama 11 musim bersama pasukan Red Giants, tidak lengkap senarai ini tanpa nama pemain pertahanan kental yang boleh bermain di posisi bek kanan dan bek tengah ini,
Legenda yang tidak didendang ini sebenarnya adalah produk belia Selangor yang mula menyarung jersi Red Giants dari tahun 1997. Melakukan lebih 300 penampilan bersama Selangor, Razman telah menjulang 8 kejuaraan bersama Red Giants; Piala Malaysia, Piala Liga Premier, Piala Liga Super, Piala Sumbangsih & Piala FA
Kini beliau mencurah bakti bersama Melaka United selepas menyertai mereka pada musim 2019.
PERTAHANAN TENGAH: MUHAMMAD SHAHROM ABD KALAM (2014-2016)
Kepten Selangor bagi musim 2015 dan 2016 ini merupakan watak penting ketika skuad Red Giants menjulang Piala Malaysia pada musim 2015. Kemuncak prestasi beliau bagi musim 2014 dan 2015 membuatkan beliau menerima panggilan menyertai pasukan kebangsaan pada tahun 2016.
Melakukan 76 penampilan untuk pasukan Red Giants, gandingan beliau bersama Robert Cornthwaite menjadikan pasukan Selangor sebagai salah sebuah pasukan yang memiliki pertahanan yang paling kental di liga pada waktu itu.
Meninggalkan Selangor pada musim 2016, beliau seterusnya menyertai pasukan Perak dan bakal bermain untuk pasukan Negeri Sembilan untuk musim 2020.
PERTAHANAN TENGAH: MOHD BUNYAMIN UMAR (2010-2017)
Mula mengabdikan diri sebagai pemain Selangor mulai tahun 2010, Bunyamin Omar kekal bersama Selangor selama 7 musim.
Bekas kepten Selangor ini juga merupakan pemain serba boleh untuk pasukan Selangor kerana boleh bermain sebagai efektif sebagai pemain tengah, pertahanan tengan dan bek kanan. Lebih penting, beliau turut membantu Selangor memenangi kejuaraan liga bagi musim 2010 dan merangkul kejuaraan Piala Malaysia bagi musim 2015.
Beliau meninggalkan Selangor pada penghujung musim 2017 dan menyertai skuad Pahang bagi musim 2018.
PERTAHANAN KIRI: MOHD ASRARUDDIN PUTRA OMAR (2010-2013)
Disebut-sebut sebagai pemain bek kiri terbaik Selangor dekad ini, Asraruddin mula bermain untuk skuad senior Red Giants sejak musim 2007 lagi. Kekentalan beliau dan ketenangan yang dimilikinya membolehkan beliau bermain di posisi bek kiri dan bek tengah.
Dengan kewibawaan yang dimilikinya, beliau dilantik sebagai kepten pasukan Selangor bagi musim 2013 dengan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Amri Yahyah yang berhijrah ke pasukan Johor Darul Ta’zim.
Setelah melakukan lebih 100 penampilan sebagai pemain Selangor, beliau kemudiannya turut berhijrah ke selatan tanah air pada musim 2014.
PEMAIN TENGAH: MOHD AMRI YAHYAH (2010-2013, 2017-2019)
Tidak lengkap senarai ini tanpa pemain living legend skuad Gergasi Merah, Amri Yahyah yang lebih mesra dikenali sebagai Wak Am ini.
Anak kelahiran Tanjung Karang ini telah menyertai dan meninggalkan Selangor sebanyak dua kali sepanjang karier bola sepak beliau. Antara kualiti yang dimiliki oleh beliau adalan kelebihan untuk menjaringkan gol di saat-saat penting permainanan seperti gol emas di pentas final Piala Malaysia 2002 ketika menentang pasukan Sabah.
Dengan hampir 500 penampilan bersama skuad Selangor, Wak Am adalah pemain Selangor yang mempunyai paling banyak penampilan dalam sejarah kelab dan tutut dikatakan pemain terbaik bola sepak Selangor era moden selepas Allahyarham Mokhtar Dahari.
PEMAIN TENGAH: SAFIQ RAHIM (2007-2008, 2010-2013)
Seorang lagi pemain terbaik bagi generasi baru bola sepak Selangor, Safiq Rahim memahat namanya sebagai playmaker terbaik yang pernah dimiliki oleh skuad Harimau Malaya.
Kemuncak karier beliau adalah pada musim 2010 apabila beliau bukan sahaja membantu Selangor memenangi kejuaraan liga dan Piala Sumbangsih, malah Safiq turut membantu Malaysia memenangi Piala AFF Suzuki Cup bersama-sama Razman Roslan, Asraruddin Putra, Amri Yahyah, Amirul Hadi Zainal dan Safee Sali.
Selepas melakukan lebih 60 penampilan liga bersama Red Giants, beliau berhijrah ke selatan tanah air pada musim 2014 dan kini bermain untuk pasukan Melaka United.
SAYAP KIRI: ANDIK VERMANSAH (2014-2017)
Pemain lincah dari Indonesia ini bukan sahaja hebat beraksi di padang, malahan kehadiran beliau di Stadium Shah Alam juga mengundang ramai penyokong dari Indonesia untuk sama-sama menyokong pasukan Gergasi Merah.
Kelebihan beliau menggelecek dan melakukan hantaran lintang tepat telah menjadikan beliau aset penting bagi jentera serangan pasukan Selangor dan menjadi pemain popular dalam kalangan penyokong Red Giants.
Mula menyertai pasukan Selangor pada musim 2013, beliau telah melakukan hampir 70 penampilan liga sebelum menyertai pasukan Kedah pada tahun 2018.
SAYAP KANAN: AMIRUL HADI ZAINAL (2006-2012)
Menjaringkan 67 gol dari 113 penampilan bersama skuad Red Giants, Amirul Hadi telah membina legasinya yang tersendiri di Stadium Shah Alam.
Memiliki larian pantas dan hantaran lintang yang tepat, Amirul turut dipanggil menganggotai skuad kebangsaan sehingga Malaysia berjaya membawa pulang kejuaraan AFF Suzuki Cup pada tahun 2010. Gandingan beliau bersama Azidan Sarudin sering kali menjadi buah mulut peminat bola sepak Selangor.
Bersama Red Giants, beliau berjaya memenangi 5 kejuaraan termasuklah trofi Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih. Kini beliau bertugas sebagai jurulatih bagi pasukan Johor Darul Ta’zim.
PEYERANG: RUFINO SEGOVIA (2017-KINI)
Selangor tidak pernah lekang dari memiliki penyerang berbisa, baik awang import, mahupun pemain tempatan. Antara nama-nama yang disebut oleh penyokong setia Red Giants adalah Ifedayo Olusegun, Paolo Rangel, Guilherme de Paula, Adam Nur Azlin dan sebagainya.
Namun, pemain yang menjadi pilihan penyokong Selangor pada dekad ini adalah bekas penyerang Atletico Madrid, Rufino Segovia. Mewakili Selangor sejak musim 2017, beliau telah melakukan 47 penampilan dan menjaringkan 41 gol.
Antara kejayaan terbesar beliau adalah apabila mendapat anugerah kasut emas bagi musim 2018 setelah menjaringkan 19 gol dalam saingan liga pada musim tersebut.
Sayangnya, musim 2019 sedikit mengecewakan apabila beliau mengalami kecederaan jangka masa panjang yang memaksa beliau berehat sepanjang musim, namun bakal kembali menyarung jersi Red Giants bagi musim 2020.
PENYERANG: AHMAD HAZWAN BAKRI (2014-2016)
Melakukan lebih 80 penampilan dalam 3 musimnya bersama skuad Selangor, Ahmad Hazwan Bakri telah meninggalkan legasinya yang tersendiri kepada penyokong Red Giants.
Hazwan Bakri menjadi watak ikonik bagi penyokong Selangor setelah menjaringkan gol kemenangan ketika Red Giants berjaya menyelesaikan Misi 33 dengan memenangi Piala Malaysia pada musim 2015.
Pada musim yang sama juga, Hazwan telah menjadi pemain yang paling banyak dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan, termasuklah permain terbaik di pentas final Piala Malaysia 2015 setelah menjaringkan 2 gol menentang pasukan Kedah.
Beliau kemudiannya berhijrah ke pasukan Johor Darul Ta’zim pada musim 2017.
PEMAIN SIMPANAN:
MOHD KHAIRULAZHAN KHALID (2016-KINI), RAMEZ DAYOUB (2012-2013), S KUNALAN (2012-2013), P GUNALAN (2010-2013), MOHD SAFEE MOHD SALI (2010-2011), MOHD RAIMI MD NOR (2013-2017), MUHAMMAD SYAHMI SAFARI (2017-KINI)
HONORABLE MENTIONS:
ABDUL HALIM SAARI (2019- KINI), RAIMI MD NOOR (2006-2007, 2012-2017), NAZMI FAIZ (2014-2016), PAULO RANGEL (2014)