Mar 03, 2020 - FASJenama peneraju pita pelekat sukan nombor 1 Malaysia, ATF Sport Taping meneruskan kerjasama erat bersama FA Selangor apabila terus menjadi pita pelekat sukan rasmi bagi skuad Red Giants untuk musim 2020.
Entiti korporat ini tidak asing lagi bagi skuad Red Giants kerana telah menjadi salah sebuah rakan strategik bagi pasukan itu sejak musim lalu.
Jenama pita pelekat sukan ATF Sport Taping bukanlah jenama yang asing bagi penggiat sukan di Malaysia. Dengan pelbagai pilihan jenis pita pelekat sukan yang berkualiti tinggi seperti pita strapping dan pita kinesiologi, ATF Sport Taping telah membantu ribuan atlet untuk bermain dengan penuh keyakinan.
ATF Sport Taping telah menjalinkan hubungan istimewa dengan FA Selangor dengan menyediakan pita pelekat dan alatan fisio lain yang digunakan oleh pasukan utama Selangor pada musim lalu. Tidak keterlaluan jika dikatakan kejayaan pasukan Red Giants pada musim lalu juga banyak dibantu oleh peralatan dan pita pelekat sukan ATF.
Menurut Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon kerjasama antara kedua-dua entiti ini penting ke arah penswastaan sepenuhnya kelab bola sepak yang berpengkalan di Lembah Kelang ini.
“FA Selangor bersyukur dan berbangga dengan kerjasama ini. ATF Sport Taping telah menjadi rakan strategik yang banyak membantu proses transformasi menyeluruh Selangor, terutamanya dalam memastikan pemain-pemain Selangor mampu beraksi dengan penuh keyakinan sewaktu permainan.”
“Servis dan komitmen yang mereka telah berikan sepanjang musim lalu adalah sangat mengagumkan. Kami sangat berpuas hati dengan kerjasama yang telah ditunjukkan pada musim lalu dan berharap dapat mengulanginya pada musim ini” tambah Johan.
Pengarah urusan ATF Sport Taping, Encik Mohd Azmir dipetik berkata,
“Kami sangat teruja dapat meneruskan kerjasama dengan FA Selangor, sebuah pasukan yang kaya dengan kejayaan dan sejarah bola sepak di negara ini. Di ATF Sport Taping, kami mahukan penyokong-penyokong Selangor tahu bahawa produk-produk kami adalah setanding dengan jenama antarabangsa dan turut diguna pakai oleh pemain-pemain profesional kesayangan mereka untuk beraksi dengan penuh keyakinan. Kami juga berharap agar kerjasama yang terjalin ini dapat diteruskan lagi untuk masa yang akan datang.”
FA Selangor mengucapkan terima kasih kepada ATF Sport Taping atas kepercayaan yang diberikan untuk memajukan bola sepak negeri Selangor selain mengharapkan agar lebih banyak badan korporat untuk tampil untuk sama-sama mengembalikan kembali zaman kegemilangan bola sepak Selangor.