Mar 04, 2020 - FASUniversiti awam terkemuka Malaysia, UiTM Shah Alam hari ini diumumkan sebagai rakan sains sukan rasmi bagi skuad Red Giants untuk musim ini.
Entiti ini tidak asing lagi bagi skuad Red Giants kerana telahpun menjadi salah sebuah rakan startegik sejak 2018 dengan bertukar-tukar kepakaran selain perkongsian maklumat dan fasiliti.
Kerjasama ini melibatkan beberapa perkara dalam bidang pengajian sains sukan, pemakanan dan nutrisi, analisis prestasi dan sokongan akademik untuk pegawai dan pemain utama Selangor, skuad Selangor 2 serta skuad Piala Presiden dan Piala Belia.
Menurut Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon kerjasama antara kedua-dua entiti ini penting kearah memastikan kemudahan dan teknologi kesihatan dan kecergasan yang digunapakai oleh skuad Red Giants adalah yang terkini.
“FA Selangor berbangga kerana dapat berkerjasama dengan salah sebuah universiti awam terulung di masa ini. UiTM Shah Alam telah menjadi rakan strategik yang banyak membantu Red Giants sepanjang musim lalu. Kepakaran mereka dalam bidang sains sukan adalah penting untuk memastikan prestasi pasukan Selangor berada dalam keadaan terbaik,” tambah Johan.
“Selari dengan permodenan industri bola sepak, ianya turut membawa bersama idea-idea yang dapat memudahkan pemain atau mana-mana atlet mengimbangi kecergasan dan meningkatkan prestasi mereka dengan lebih cepat dan teratur,” jelas Johan lagi.
Kemajuan sains sukan dalam bola sepak adalah salah satu elemen penting yang mampu meningkatkan prestasi pemain, baik secara individu mahupun membentuk kekuatan sesebuah pasukan dan pasukan Selangor cukup bertuah untuk menjamin kerjasama ini bersama UiTM Shah Alam.
FA Selangor mengucapkan terima kasih kepada UiTM Shah Alam atas kepercayaan yang diberikan untuk memajukan bola sepak negeri Selangor selain mengharapkan agar lebih banyak badan korporat untuk tampil untuk sama-sama mengembalikan kembali zaman kegemilangan bola sepak Selangor.