The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Satiananthan Melihat Perkhabaran Terbaru Dari KBS Perkara Positif

Jul 10, 2020 - FAS

Selangor bakal kembali menjalani latihan bersentuhan fizikal (contact training) mulai 15 Julai 2020 setelah Menteri Belia dan Sukan Malaysia mengeluarkan kenyataan media berkenaan SOP Sukan Fasa 3 dan 4 sebentar tadi.

Ketua jurulatih Selangor, B. Satiananthan menyatakan kelegaan beliau selepas pihak kementerian bersetuju untuk melonggarkan peraturan yang membolehkan para pemain beliau untuk berlatih hampir seperti sedia kala, terutamanya dalam latihan yang melibatkan sentuhan.

“(Berita) ini dapat memudahkan sesi latihan untuk dijalankan kerana latihan bola sepak tanpa sebarang sentuhan memang susah,” jelas beliau.

Satiananthan juga dilihat bakal membuat perubahan kepada sesi latihan sedia ada demi memastikan ia lebih sempurna dan menyeluruh, selain bakal merancang perlawanan persahabatan sebelum Liga M bersambung semula.

“Saya berharap lepas ini kita dapat merancang latihan dengan sempurna dan dapat menjalankan beberapa perlawanan persahabatan bagi menyiapkan pasukan untuk kejohanan liga yang akan disambung tidak lama lagi,” tambahnya.

Sebelum ini, pasukan Selangor telahpun kembali mengadakan sesi latihan selepas SOP Fasa 1 dan Fasa 2 yang menyaksikan aktiviti latihan tidak melebihi 10 orang dalam satu sesi dan latihan tidak bersentuhan fizikal dijalankan.