The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

FAS Soccer School Terima Pengiktirafan Tertinggi FAM

Aug 17, 2020 - FAS

Program Pembangunan Bola Sepak Akar Umbi Selangor Terima Pengiktirafan FAMProgram pembangunan bola sepak akar umbi yang dikelolakan oleh FA Selangor, FAS Soccer School hari ini mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila menerima pengiktirafan Piagam SupaRimau berstatus emas dari badan induk bola sepak Malaysia, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Piagram ini dianugerahkan kepada FA Selangor sewaktu majlis penilaian dan penyerahan ini telah berlangsung di FAS Training Centre dengan diwakili oleh Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo, Ketua Pembangunan Akar Umbi FAM, Samuel Siew, Pegawai Teknikal FAM, Leila Chua dan diserahkan kepada Dr. Johan Kamal Hamidon, selaku Setiausaha Agung persatuan.

Turut bersama dalam majlis ringkas ini adalah Michael Feichtenbeiner, Pengarah Teknikal FAS, Muhammad Izrin Nabil, Ketua Unit Pertandingan FAS dan Gugan Ramulu, Pegawai Pembangunan FAS.

Usaha FAM untuk melancarkan program Piagam SupaRimau untuk menaikkan martabat dan pemerkasaan akademi-akademi bola sepak akar umbi di seluruh negara ini selayaknya diberi pujian kerana ia bukan sahaja meletakkan kayu ukur baharu kepada program pembangunan sedia ada, malahan turut mewujudkan satu ekosistem bola sepak yang lebih sistematik dan dinamik.

Kewujudan piagam ini juga bakal mempromosikan lebih banyak akademi bola sepak akar umbi, membawa mereka ke tahap yang lebih tinggi dan lebih sistematik, seterusnya membawa lebih banyak manfaat kepada komuniti bola sepak secara umumnya. Akademi-akademi bola sepak yang wujud di seluruh negeri Selangor juga telah menunjukkan minat dan memberikan respon yang positif untuk turut terlibat dalam program ini dan dijangka lebih banyak penerima piagam ini akan muncul di negeri ini.

FAS Soccer School adalah program akar umbi yang menitikberatkan pengenalan kepada pembangunan bola sepak. Program ini juga menyasarkan kanak-kanak sekolah rendah di seluruh negeri Selangor yang berumur 7 hingga 12 tahun. Program FAS Soccer School juga adalah program jangka masa panjang untuk melahirkan individu holistik melalui perkembangan fizikal, mental dan pembangunan sosial yang positif melalui pendekatan bola sepak.

FA Selangor berterima kasih kepada FAM diatas pengiktirafan ini dan berpandangan bahawa ini merupakan salah satu pengukuhan kepada program pembangunan bola sepak akar umbi. Selain itu, piagam ini juga bakal menjadi garis panduan dan kayu ukur untuk program-program pembangunan bola sepak akar umbi di seluruh negara, khususnya di negeri Selangor.

Terus maju, bola sepak Selangor!