Sep 03, 2020 - FASSetelah seri pada perlawanan di Stadium UiTM Shah Alam pada hujung minggu lalu, skuad Red Giants akan berusaha untuk bangkit untuk aksi seterusnya menentang pasukan Sabah pada 4 September ini di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Kali terakhir Selangor menentang Sabah adalah dalam saingan Piala Malaysia 2018 peringkat kumpulan (kumpulan D) di mana Red Giants tewas 1-2 kepada skuad Badak Sumbu di Stadium Shah Alam.
Namun, Selangor akan berjuang berhabis-habisan untuk mengubah skrip lampau tersebut bagi perlawanan pertama di Kota Kinabalu, Jumaat ini setelah dua tahun tidak bertandang ke sana.
Ketua Jurulatih Selangor, B. Satiananthan menyatakan bahawa pemain-pemainnya sudah bersedia untuk perlawanan ini biarpun bukan mudah untuk mengalahkan tuan rumah.
"Mereka tidak mudah dikalahkan terutamanya di gelanggang sendiri. Walaubagaimanapun, saya yakin pemain-pemain sudah bersedia dan akan bertarung dengan baik serta berusaha keras untuk mendapatkan 3 mata dari permainan ini," komen Satiananthan.
Bagi keberadaan pemain pula, A. Namathevan dan Hakim Hassan masih belum sedia untuk diturunkan ekoran faktor kecederaan.
Kedudukan terkini Gergasi Merah dalam carta CIMB Liga Super 2020 adalah di tangga ke-8 dengan 6 mata terkumpul hasil dari satu kemenangan, tiga seri, dan satu kekalahan, manakala Sabah pula di tempat ke-11.
Semoga tiga mata penuh berjaya diraih Selangor dalam perlawanan ini sekaligus mengekalkan momentum kemenangan sehingga tamat CIMB Liga Super 2020.
Bangkitlah Gergasi Merah!