Sep 04, 2020 - FASHakim Hassan, pemain sayap Selangor hampir kembali menyertai latihan bersama pasukan sepenuhnya selepas menjalani proses pemulihan daripada kecederaan ligamen lutut atau Anterior Cruciate Ligament (ACL).
Menurut Helber Richard, ahli fisioterapi pasukan utama Selangor, proses pemulihan Hakim Hassan sangat baik dan beliau telah menjalani ujian isokinetik dan hop baru-baru ini.
“Pada 21 Ogos lalu Hakim telah melengkapkan proses pemulihannya selama 6 bulan kemudian akan diadakan penilaian perubatan dan fisioterapi seperti ujian isokinetik dan ujian hop untuk membenarkan beliau berlatih di padang,” kata Helber.
Tambah Helber, Hakim dijangka akan menjalani proses pemulihan selama 9 bulan dan berkemungkinan besar akan mula menyertai aktiviti pasukan sepenuhnya bermula pramusim 2021.
Pemain berasal dari Terengganu ini menyatakan kegembiraannya atas keadaan beliau yang semakin pulih dari kecederaan ACL dan mahu melakukan kebangkitan semula musim hadapan.
"Saya sudah mula berlari di padang dan sudah boleh menendang bola semula setelah beberapa bulan tidak melakukannya. Tahun depan saya mahu bangkit seratus peratus dan memberikan yang terbaik untuk Selangor," tegas Hakim.??
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada FA Selangor, terutamanya kepada ahli fisio dan doctor pasukan kerana menjaga saya di tempoh sukar ini. Saya akan terus memberikan sepenuh kerjasama dan melakukan yang terbaik untuk membalas budi ini,” sambung Hakim.
Kami di FA Selangor mendoakan agar Hakim Hassan dapat meneruskan menjalani proses pemulihan dengan baik dan cergas dan dapat beraksi bersama pasukan dalam musim hadapan.