SELANGOR FC
BERITA

Michael: Kejayaan Perlukan Masa

Sep 24, 2020 - FAS

Michael Feichtenbeiner, Pengarah Teknikal Selangor bermula Januari tahun 2020 telah diumumkan menjadi pemangku ketua jurulatih untuk skuad Selangor bagi meneruskan perlawanan Liga Malaysia bagi musim ini.
 
“Saya diamanahkan tugas sebagai Pengarah Teknikal kelab ini, namun apabila pihak pengurusan meminta saya membantu skuad Selangor maka saya merasakan ia merupakan tugas saya untuk melakukannya,” kata Michael Feichtenbeiner.
 
Untuk pengetahuan, Michael telah melepaskan jawatannya sebagai Pengarah Teknikal Selangor dan ketua jurulatih Selangor 2 bagi menjadikan skuad Red Giants sebagai fokus utamanya.
 
“Saya akan mengambil alih skuad utama Selangor sebagai ketua jurulatih untuk baki perlawanan Liga M musim ini dan saya akan kembali sebagai Pengarah Teknikal untuk kesemua pasukan dalam FAS pada musim hadapan,” tambahnya.
 
Selari dengan tugasnya untuk membentuk DNA dan falsafah bolasepak bagi pasukan Selangor, beliau merasakan ini adalah peluang keemasan baginya untuk menerapkan DNA baharu yang bakal digunakan secara menyeluruh bagi musim hadapan dan mampu memberi kelebihan bagi pemain.
 
“Sebagai ketua jurulatih interim, saya akan perlahan-lahan melakukan beberapa perubahan awal dengan mula menerapkan DNA dalam skuad utama Selangor dan akan mula memulakan persiapan awal dalam pasukan baru musim hadapan,” tegas Michael.
 
“Saya memerlukan masa untuk menilai pemain-pemain bagi membuat keputusan terbaik untuk kelab musim ini. Saya juga telah memberitahu berita baik kepada kesemua pemain bahawa Selangor belum menandatangani pemain baru dan ini merupakan peluang yang adil untuk mereka memperjuangkan kontrak baharu dan menunjukkan mereka layak untuk terus berada dalam pasukan musim hadapan,” sambung Michael lagi.
 
Menerapkan gaya bola sepak yang unik dalam pasukan Selangor sudah pasti akan mengambil masa. Jesteru, Michael berharap penyokong boleh bersabar dan mempercayai proses yang sedang berlangsung ini. Beliau juga berharap agar peminat Gergasi Merah boleh terus memberikan sokongan kepada pihak pengurusan, barisan jurulatih dan juga pemain.
 
“Penyokong perlu bersabar dan percaya akan proses yang baru dijalankan ini. Selain itu, penyokong juga perlu mempercayai para pemain yang akan meneruskan perjuangan ini dengan saya. Mereka ingin menunjukkan prestasi yang terbaik untuk Selangor dan membuat peminat gembira,” kata Micheal sebelum mengakhiri temubual.
 
FA Selangor sentiasa memberikan sepenuh kepercayaan kepada Michael Feichtenbeiner untuk mengendalikan skuad utama Selangor sehingga habis musim ini. Semoga kita mendapat penamat musim yang baik.
 
Selamat berjaya, Coach Michael!