The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

PREVIU PERLAWANAN: Tiga Pemain Utama Cedera Menjelang Perlawanan UiTM FC (CIMB Liga Super 2020)

Sep 25, 2020 - FAS

Skuad Selangor akan meneruskan saingan kejuaraan CIMB Liga Super 2020 minggu ke-9 dengan menentang UiTM FC pada 26 September 2020 di Stadium UiTM, Shah Alam.

Pertemuan ini merupakan perlawanan pertama skuad Gergasi Merah di bawah kendalian pemangku ketua jurulatih, Michael Feichtenbeiner yang baru diumumkan pada hari Isnin yang lalu.

Bekas jurulatih skuad bawah 15 tahun Jerman ini berasa gembira dengan pemikiran terbuka para pemain dan barisan jurulatih yang menerimanya dengan baik. Persiapan menjadi lebih mudah dalam minggu pertamanya melatih dengan keterbukaan mereka.

“Persediaan pasukan bagi perlawanan Sabtu ini adalah dengan berkerja keras setiap hari. Pemain masih bermotivasi untuk teruskan perlawanan musim ini dan mereka berfikiran terbuka untuk idea-idea baru daripada ketua jurulatih baru seperti saya,” jelas Michael.

“Biarpun baru sahaja mengendalikan pasukan utama Selangor, saya yakin dengan setiap pemain yang ada. Jika kita dapat menunjukkan semangat berpasukan yang baik dan bekerja keras di atas padang Sabtu ini, pasti Selangor dapat memberikan saingan yang baik kepada pasukan UiTM FC dan mempunyai peluang besar untuk memenangi perlawanan ini,” tambah Michael.

Bagi keberadaan pemain pula, Brendan Gan bakal beraksi kembali setelah tamat penggantungan pada minggu lalu setelah dilayangkan kad merah sewaktu perlawanan menentang Melaka United. Selain itu, Mukhairi Ajmal juga disahkan cergas untuk kembali bersama pasukan semula minggu ini. 

Sungguhpun demikian, Syazwan Zainon, Wan Zack Haikal dan Halim Saari tidak dapat diturunkan dalam perlawanan ini atas faktor kecederaan. Manakala, Hakim Hassan masih menjalani proses fisioterapi.

Kedudukan terkini Gergasi Merah dalam carta CIMB Liga Super 2020 adalah di tangga ke-8 dengan 10 mata terkumpul hasil dari dua kemenangan, empat seri, dan dua kekalahan. Kemenangan pada hari Sabtu ini memungkinkan Selangor naik ke kedudukan ke-4 liga, namun perlu menunggu kepada keputusan di venue lain.

Semoga tiga mata penuh berjaya diraih Selangor untuk perlawanan minggu ini sehingga tamat CIMB Liga Super 2020. Ayuh Gergasi Merah!