SELANGOR FC
BERITA

REVIU PERLAWANAN: Hatrik Ifedayo Olusegun Lengkapkan Malam Gemilang Gergasi Merah (CIMB Liga Super 2020)

Oct 11, 2020 - FAS

Skuad Selangor menutup tirai kempen CIMB Liga Super 2020 dengan bergaya selepas berjaya membelasah Felda United FC 6-1 di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi.

Pengendali sementara Selangor, Michael Feichtenbeiner melakukan beberapa pertukaran untuk kesebelasan utama beliau dengan kembalinya ketua pasukan, Taylor Regan dan Syahmi Safari dari kecederaan dan turut menyenaraikan penjaga gol Tauffiq Ar Rashid serta pemain muda Ahmad Zikri Khalili yang membuat penampilan pertama dalam saingan liga musim ini.

Masih segar dengan kemenangan besar 7-0 ke atas PDRM minggu lalu, Selangor bermula garang dengan mendahului permainan seawal minit ke-13 melalui Brendan Gan yang bijak melepasi perangkap ofsaid selepas menerima lorongan daripada Sandro Da Silva sebelum beliau berjaya melepaskan rembatan menerusi kaki kirinya menewaskan penjaga gol Felda United, Mohamad Muhaimin.

Selangor yang dilihat lebih banyak mendominasi penguasaan bola hampir menggandakan kedudukan beberapa minit kemudian, namun Sandro dan Ifedayo gagal memanfaatkan hantaran lintang Syahmi Safari dari sebelah kanan.

Felda United yang sekali sekala menyerang berjaya menyamakan kedudukan pada minit melalui jaringan Danial Amier Norhisham yang berjaya melepaskan rembatan juga dengan kaki kiri beliau pada minit ke-33 permainan.

Kegembiraan Felda tidak kekal lama apabila Ifedayo yang tidak dikawal meletakkan Selangor kembali di hadapan beberapa minit sebelum tamat aksi babak pertama dengan mudah menolak masuk hantaran dari Sandro Da Silva.

Ifedayo terus garang dengan menjaringkan gol ketiga Selangor menerusi sepakan penalti selepas pengadil perlawanan, Fitri Maskon mendapati Brendan Gan ditarik oleh pemain Felda, Fadhil Idris pada minit ke-62.

Lapan minit berselang, Selangor melebarkan penguasaan mereka dengan gol keempat menerusi sepakan percuma Sandro Da Silva. Pemain import Brazil itu sekali lagi menyumbat gol untuk menjadikan kedudukan 5-1 pada minit ke-78.

Ifedayo melengkapkan malam gemilang buat Selangor dan dirinya dengan berjaya mencipta hatrik menerusi rembatan kencang dua minit sebelum tamat permainan sekaligus menjadikan jumlah jaringannya musim ini sebanyak 12 gol dan beliau berada di kedudukan terbaik untuk menggondol anugerah kasut emas musim ini.

Kedudukan 6-1 kekal sehingga wisel penamat dan meletakkan Selangor naik ke tangga keempat liga buat sementara waktu memandangkan pencabar terdekat, Terengganu FC (TFC) akan turun beraksi pada hari Ahad keesokannya.

Bertanya kepada Michael selepas perlawanan, beliau nyata gembira dengan persembahan yang dipamerkan oleh pemain-pemain Selangor. 

“Satu lagi kemenangan besar berjaya dicatatkan malam ini. Saya gembira dan berpuas hati dengan peningkatan prestasi dan transisi yang dipamerkan oleh para pemain”, ujar beliau.

Selangor akan meneruskan kempen 2020 dengan mempersiapkan pasukan untuk Piala Malaysia yang dijangka berlangsung pada hujung bulan Oktober.