The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

HARI MAKANAN SEDUNIA 2020 - FA Selangor Dan The Lost Food Project Lancarkan Kempen 'Rice Bucket Challenge' Untuk Golongan Memerlukan

Oct 16, 2020 - FAS

Peribahasa 'yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing' amat sesuai bagi menggambarkan kerjasama yang dijalinkan di antara FA Selangor (FAS) dan The Lost Food Project (TLFP) bagi membantu golongan yang memerlukan di sekitar Lembah Klang.

Kempen 'Rice Bucket Challenge' ini adalah bertujuan untuk menyediakan makanan dan barangan keperluan asas secukupnya buat rata-rata keluarga yang kurang berkemampuan dan terkesan disebabkan pandemik COVID-19 yang sedang hebat melanda dunia. Antara makanan dan barangan keperluan asas yang diperlukan adalah seperti beras, roti, sabun, pencuci tangan, barangan mandian dan banyak lagi.

Seramai tiga pemain Selangor iaitu Wan Zack Haikal Wan Nor, Sean Selvaraj dan Ashmawi Yakin menyertai cabaran ini dengan memuatnaik gambar dan video mereka di laman sosial bersama baldi atau 'bucket' yang berisikan barangan yang akan didermakan kepada The Lost Food Project. Antara selebriti tempatan yang turut mengambil bahagian dalam cabaran ini adalah Yasmin Hani, Maya Karin dan Sharifah Amani.

"Bersempena dengan Hari Makanan Sedunia yang jatuh pada 16 Oktober, kami merasakan ini adalah salah satu inisiatif yang tepat bagi membantu keluarga yang memerlukan bantuan lagi-lagi mereka yang terkesan disebabkan pandemik COVID-19. Kami berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka dalam menyediakan keperluan asas harian untuk keluarga masing-masing", ujar Dr. Johan Kamal Hamidon selaku Setiausaha Agung Selangor FA.

Bagi anda yang ingin menyertai cabaran ini, boleh ikut cara-cara dibawah atau layari laman web www.thelostfoodproject.org untuk makluman lanjut.

Cara-cara untuk sertai #RiceBucketChallenge:
1) Isi atau penuhkan satu baldi dengan makanan atau barangan keperluan asas
2) Imbas kod QR yang diberi atau layari https:/bit.ly/RBCbucket dan penuhkan baldi maya anda dengan membuat pembayaran (derma) untuk pakej yang tersedia
3) Ambil gambar atau video baldi anda tersebut di rumah
4) Muatnaik gambar atau video anda di laman sosial dan tag 3 rakan anda untuk melengkapkan cabaran ini

Cara-cara untuk sertai #RiceBucketChallenge sebagai PENERIMA:

1) Lengkapkan borang pendaftaran anda di pautan (tertakluk kepada terma & syarat):
https://bit.ly/3j5Nmw3