Oct 23, 2020 - FAS
Pasukan Gergasi Merah kini berkampung di Negeri Sembilan bagi menjalankan sesi latihan menjelang kejohanan Piala Malaysia setelah aktiviti sukan bersentuhan tidak dibenarkan di negeri Selangor disebabkan PKPB.
Perpindahan lokasi latihan ini telah diluluskan oleh pihak berkuasa dan semua pergerakan pasukan dan sesi latihan juga bakal mengikuti prosedur dan SOP ketat yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut pemangku ketua jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner, latihan di luar kawasan Selangor dijalankan bagi memudahkan sesi persiapan Piala Malaysia 2020 dan membantu pasukan untuk mendapat latihan yang sepatutnya.
“Pihak pengurusan FAS telah melakukan tugas yang baik untuk memberikan peluang untuk kami berlatih di luar Selangor. Persekitaran berbeza ini dapat memberi fokus yang baru kepada pemain dan dapat merapatkan hubungan sesama mereka."
"Latihan sebegini memang diperlukan kerana kami tidak dibenarkan menjalani latihan di FAS Training Centre seperti biasa (latihan tanpa sentuhan). Ini juga merupakan kali pertama saya mempunyai lebih banyak masa bersama untuk mengenali mereka,” kata Michael.
“Melalui sesi latihan ini, pemain boleh mendapatkan kecergasan yang sebenar. Selain itu, ia juga dilakukan supaya mereka lebih memahami falsafah bola sepak yang saya mahu mereka lakukan di padang nanti,” tambahnya yang hari ini genap sebulan menjadi pengendali sementara pasukan Gergasi Merah.
Selain sesi latihan, inisiatif ini juga diambil bagi mengukuhkan semangat berpasukan dalam kalangan pemain dengan beberapa aktiviti-aktiviti pembinaan pasukan (team building) sepanjang kem latihan ini.
“Saya yakin tempoh empat hingga lima hari di sini akan mewujudkan semangat berpasukan yang tinggi. Pemain dapat memperoleh kerjasama yang baik dan mendapatkan apa yang diperlukan untuk kejohanan Piala Malaysia nanti,” tegas Michael Feichtenbeiner.
FA Selangor berharap agar usaha ini membantu skuad utama Selangor bagi membuat persiapan sebaiknya menjelang Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung sepanjang bulan November ini.
Semoga berjaya Gergasi Merah!