Nov 04, 2020 - FASPasukan Selangor telah diundi menentang Melaka United untuk pusingan pertama TM Piala Malaysia 2020 pada 1 November lalu.
Berbeza dengan edisi sebelumnya, sebanyak 15 pasukan melibatkan 10 pasukan Liga Super dan lima pasukan Liga Premier bakal bersaing untuk merebut kejuaraan dan bakal dimainkan dengan format kalah mati.
Michael Feichtenbeiner, pemangku ketua jurulatih Selangor berpendapat bahawa semua pasukan mempunyai peluang yang sama untuk menjulang kejuaraan.
“Dalam pusingan kalah mati, semua pasukan sukar untuk ditandingi kerana semua pasukan ada peluang tersebut tetapi saya yakin pemain akan menunjukkan prestasi yang terbaik kerana inilah yang perlu kita lakukan untuk mara ke pusingan suku akhir,” kata Michael.
Biarpun agak sukar berlatih mengikut SOP yang ditetapkan, kecergasan yang ditunjukkan oleh para pemain Selangor ketika ini memberi sedikit kelegaan untuk Michael mencongak strategi demi menghadapi perlawanan yang akan berlangsung pada hujung minggu ini.
“Kami tidak dapat melakukan latihan bersentuhan dan ia sangat sukar untuk ditangani, namun kami perlu menuruti SOP yang telah ditetapkan dan mencari penyelesaian terbaik untuk pemain,” tambah Michael.
“Kita sangat beruntung kerana semua pemain berada dalam kecergasan yang baik setakat ini, semoga tiada kecederaan yang bakal berlaku dan mereka dapat memberi fokus sepenuhnya dalam perlawanan menentang Melaka United nanti,” jelasnya.
Selain tidak dapat berlatih seperti biasa, pasukan Gergasi Merah juga terpaksa bermain perlawanan pertama mereka di luar negeri Selangor.
Stadium Hang Jebat dipilih sebagai venue tuan rumah menentang Melaka United kerana aktiviti bola sepak di negeri Selangor masih lagi tidak dibenarkan kerana menjalani PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pemilihan lokasi tersebut turut mendapat penjelasan dari Setiausaha Agung FA Selangor, Dr. Johan Kamal Hamidon yang mendedahkan beberapa faktor mengapa ia dipilih.
“Kita tidak dapat bermain di Selangor mahupun Kuala Lumpur kerana PKPB yang masih berkuat kuasa di sini. Venue di negeri lain pula terdapat masalah teknikal kerana ia sedang baik pulih. Stadium Hang Jebat adalah satu-satunya pilihan yang kita ada untuk keadaan stadium dan padang yang baik,” jelas Dr. Johan.
Pasukan Selangor dijadualkan akan beraksi menentang pasukan Melaka United pada hari Ahad ini, jam 9.00 malam untuk pusingan pertama TM Piala Malaysia 2020. Semoga berjaya Gergasi Merah!